Sahabat-Gunung |
- Hadi Perlu Dipecat Dari Majlis Syura
- Azhar Idrus Bakal Sokong BN?
- BN Selangor Anjur Karnival Sayangi Selangor- Chap Goh Mei 23 Feb Ini
- Kalimah Allah: PAS Gagal Mengubah Pendirian Rasmi PR
- Debat Rakyat – Peluang Rakyat Saksikan Pertemuan Tokoh NGO Berdebat Dengan Pemimpin BN dan Pakatan Selangor
- Nik Aziz – Karpal Singh Berlakon …..
- Propaganda Pilihanraya Sudah Lama Jerat Leher Pembangkang Sendiri – Jais
- BN Lancar Aplikasi Telefon Radio Selangor BN.fm
- Kerajaan Khalid Yang Gagal Tunai Janji, Tapi BN Juga Yang Dipersalahkan
Hadi Perlu Dipecat Dari Majlis Syura Posted: 06 Feb 2013 11:48 PM PST Langkah drastik PAS memecat keanggotaan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura Ulama parti itu terus menarik perhatian umum sehingga memaksa ramai pimpinan PAS terpaksa tampil dengan pelbagai kenyataan untuk menjustifikasikan logik tindakan tersebut. Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya dalam usaha mengurangkan kegusaran ahli dan penyokong bawahan, cuba memberi gambaran isu pemecatan itu hanya proses biasa seumpama hubungan suami isteri yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai. Manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula menganggap Ustaz Nasharudin kini hanyalah ahli biasa yang tidak berpengaruh dan jika bekas Timbalan Presiden PAS itu menyertai UMNO sekalipun tiada kesannya pada PAS. Ulasan sedemikian yang buruk nadanya bukan satu perkara baru bagi Hadi, sudah menjadi tabiat semulajadinya memperlekehkan maruah orang lain. Sebelum ini Hadi pernah menghina rakyat Sarawak sebagai golongan yang tiada pendidikan dan masih memakai cawat. Yang terbaru dihinanya guru sekolah merendah kononnya hanya layak mengajar ABC sahaja. Hakikatnya kenyataan dari kedua-dua pimpinan tertinggi PAS itu mahupun pelbagai lagi kenyataan dari pimpinan PAS yang lain, sebetulnya tersirat kegusaran yang mendalam, kerana itu seboleh mungkin mereka cuba membina gambaran pada ahli dan penyokong PAS supaya memandang remeh saja isu pemecatan Ustaz Nasharudin. Mereka seperti baru tersedar wujudnya impak buruk dari kes pemecatan itu yang mampu menjejaskan kelancaran jentera parti serta kesan sampingan yang akan menggugat kepercayaan ahli dan penyokong terhadap PAS itu sendiri. Namun segalanya sudah terlambat, PAS tidak mengambil iktibar peristiwa lepas yang melibatkan pemecatan bekas Naib presiden PAS, Dr Hasan Ali dan bila kini kesilapan sama diulangi ke atas Ustaz Nasharudin, ia seumpama PAS sengaja menempah keranda sendiri. Sekarang kalangan ahli dan penyokong PAS tidak hanya mempertikaikan kenapa Ustaz Nasharudin dipecat tanpa diberi peluang pembelaan diri tapi mereka juga teramat ingin tahu mengapa Mursyidul Am PAS yang terkenal paling kerap gagal menghadiri mesyuarat badan tertinggi PAS itu terkecuali dari tindakan yang sama. Malah bukan satu rahsia pun, ramai ahli PAS memperkatakan kelesuan Majlis Syura Ulama PAS paling ketara kelihatan sejak ia dipengerusikan oleh Nik Aziz. Sepanjang penggal yang lalu pula, langsung tiada mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu yang bersangkut paut dengan dasar parti termasuklah membabitkan isu negara Islam dan hukum hudud yang menjadi pertikaian DAP serta PKR. Dalam masa yang sama sudah banyak kedengaran rungutan mempersoalkan kenapa seorang lagi ahli Majlis Syura iaitu bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang juga jarang hadir ke mesyuarat masih terus diberi peluang menganggotai badan tersebut. Paling utama ahli bawahan serta penyokong parti tertanya-tanya mengapakah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terus menerus bebas dari tindakan disiplin? Umum mengetahui Hadi telah secara terbuka mendahului keputusan Majlis Syura Ulama apabila dalam mesyurat tertinggi pemimpin PR yang disertainya, beliau telah bersetuju membenarkan kalimah Allah s.w.t digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Tindakan Hadi yang membuat keputusan songsang dan bertentangan dengan keputusan rasmi Majlis Syura Ulama PAS bukan sahaja melanggar kebiasaan malah ia meninggalkan tidak sedikit impak yang memalukan sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan PAS. Dilihat dari segi kesalahan yang telah dilakukan oleh Hadi, sewajarnya beliau sudah layak untuk dipecat dari Majlis Syura Ulama PAS. Demikian halnya tindakan yang sama juga sepatutnya sudah diambil terhadap Nik Aziz dan Mat Iraqi. Namun kenapa ketiga-tiga mereka terselamat? Walau apapun persoalan yang khalayak umum lontarkan serta apa sahaja yang ahli PAS pertikaikan, satu hakikat yang pasti PAS kini sudah cukup sinonim dengan corak kepimpinan diktator dan ruang kebebasan juga semakin sempit. Itu hakikatnya. |
Posted: 06 Feb 2013 09:45 PM PST Kemunculan personaliti agama yang sedang meningkat popular, Ustaz Azhar Idrus dalam Wacana Perdana di Stadium Darul Makmur, Pahang beberapa hari lepas pada pandangan ramai pemerhati politik ia adalah satu perkembangan menarik untuk dikupas dari pelbagai sudut. Umum mengetahui selama ini Azhar Idrus dilihat dekat dengan PAS seumpama jinak-jinak burung merpati di masa yang sama cukup kritis dengan Kerajaan Pusat khasnya UMNO. Lantaran itu tidaklah pelik bila mana para penyokong PR khususnya PAS ghairah cuba mengambil kredit berikutan kebanjiran orang ramai mengikuti program dakwah keagamaan itu dengan mempropagandakannya sebagai petanda 'sokongan rakyat' kepada PR. Namun disebalik keghairahan tersebut, hakikatnya kesediaan Kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob meluluskan kegunaan Stadium Darul Makmur untuk menjayakan program wacana itu membuktikan keterbukaan BN dalam memperkasakan program bercorak dakwah. Sudah menjadi polisi BN apa sahaja program keagamaan selagi ianya dilaksanakan dengan tulus ikhlas tanpa doktrin kepartian, maka segalanya lancar tanpa halangan. Bagaimanapun bila mana wacana yang disertai Azhar Idrus itu turut mendapat liputan Berita Utama TV3, sesetengah pemimpin dan penyokong PR bagaikan terhidu sesuatu yang tidak kena. Bagaikan ada udang disebalik mi, kata mereka. Kenyataan Azhar Idrus sebagaimana dipetik oleh Berita Utama TV3, "sangat-sangat saya sokonglah, kerajaan mana sekalipun buat benda-benda gini untuk anak-anak muda khususnya," dilihat oleh sebahagian pemerhati seakan ada maksud tersirat untuk ditafsirkan. Dari kenyataannya itu ia menggambarkan sokongan terbuka Azhar Idrus dengan dukungan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang dalam menjayakan program keagamaan, sesuatu yang jauh berbeza dengan layanan Kerajaan PAS Kelantan yang mengharamkan kuliah agama oleh Azhar Idrus di mana-mana Masjid dan Surau di negeri itu. Lebih menarik lagi kemunculan tiba-tiba Azhar Idrus dalam wacana yang disokong oleh Kerajaan BN Pahang itu bagaikan memberi jawapan kenapa beliau gagal muncul di malam pra Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) tempohari. Barangkali polemik kalimah Allah s.w.t telah merubah corak pandangan Azhar Idrus terhadap PAS dan PR selanjutnya kini dilihat seperti bakal menyokong BN, ada kemungkinannya jika diambil kira kegagalannya menyertai malam pra HKR di padang Kelab Sultan Sulaiman. |
BN Selangor Anjur Karnival Sayangi Selangor- Chap Goh Mei 23 Feb Ini Posted: 06 Feb 2013 07:30 PM PST Barisan Nasional Selangor berasa amat teruja dan berpuas hati dengan sokongan begitu ramai rakyat Selangor sempena Karnival Sayangi Selangor pada awal tahun tempoh hari. Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, bagi meraikan kepelbagaian kaum yang ada di Selangor, BN Selangor berbesar hati untuk mengadakan Karnival Sayangi Selangor – Chap Goh Mei pada 23 Februari bertempat I-City, Shah Alam. "Program ini akan bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir pada jam 12 tengah malam. Ianya juga akan diserikan dengan Persembahan Bunga Api tepat jam 12 tengahmalam itu. Selain itu, 1,000 tiket percuma akan turut diberikan kepada pengunjung untuk mengunjungi Water World pada 23 Februari. Tiket boleh didapati secara online di laman I-City. BN Selangor mensasarkan 100,000 pengunjung pada malam tersebut dari pelbagai kaum terutamanya masyarakat Cina di Selangor ini," ujarnya yang juga Setiausaha UMNO Negeri Selangor. Tambahnya, Karnival Sayangi Selangor dilihat telah menjadi satu jenama yang dinanti-nantikan oleh penduduk Selangor. "Barisan Nasional Selangor percaya Karnival Sayangi Selangor- Chap Goh Mei ini akan menarik sokongan dari Pengundi Cina terutamanya malah atas semangat 1 Malaysia, Karnival seperti ini akan sentiasa diadakan pada perayaan-perayaan utama kaum di Malaysia dengan pengisian yang bersesuaian," ujarnya lagi. |
Kalimah Allah: PAS Gagal Mengubah Pendirian Rasmi PR Posted: 06 Feb 2013 05:43 PM PST Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan media pada 17 Januari 2013 berpendapat isu kalimah Allah s.w.t telah pun selesai berikutan keputusan Majlis Syura Ulama PAS empat hari sebelumnya menolak penggunaan kalimah suci itu dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Jika Menteri Besar Kelantan itu terus beranggapan sedemikian, namun realiti semasa tidak pun memihak kepada kehendaknya itu sementelah lagi Pakatan Rakyat (PR) tetap utuh dengan pendirian rasminya yang dicapai pada 8 Januari 2013. Masih segar dalam ingatan ramai, pada tarikh tersebut PR yang turut dianggotai PAS selepas selesai mesyuarat Majlis Pimpinan gabungan itu telah sebulat suara bersetuju membenarkan kalimah suci Allah s.w.t diguna pakai dalam kitab Bible. Malah sehari selepas PR memuktamadkan pendirian mereka, Nik Aziz sendiri menyatakan sokongan terbuka sambil menyifatkan keputusan PR itu akan membuka ruang dakwah Islam kepada penganut agama lain. Paling penting, persetujuan PR itu juga adalah penegasan ulangan bagi keputusan bersama yang pernah mereka capai pada tahun 2010 yang bukan sahaja disokong oleh PAS, tetapi juga turut dukungan kuat daripada Nik Aziz. Walaupun sekarang PAS cuba menonjolkan pendirian baru parti itu dengan bersandarkan keputusan rasmi dari Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari 2013, hakikatnya ia tidak pun mengubah pendirian rasmi PR. Ini bermakna gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan mendesak PAS mematuhi persetujuan bersama sebelum ini mempunyai merit yang tidak boleh dipertikaikan kerana selagi PAS kekal bersama PR, selagi itulah PAS perlu patuh pada keputusan yang telah menjadi dasar rasmi PR. "PR adalah sebuah organisasi yang besar (dianggotai DAP dan PKR) manakala Majlis Syura hanya terdiri daripada Pas. Saya kesal dengan kenyataan itu. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya," demikian kata pemimpin veteran DAP itu sekaligus menafikan kenyataan awal oleh Mursyidul Am PAS. Apa yang diperkatakan oleh Karpal itu memang benar. Soal Majlis Syura Ulama PAS telah membuat pendirian berbeza dengan PR tidak pun menjejaskan dasar PR yang secara rasminya telah menyokong penggunaan kalimah suci Allah s.w.t oleh orang bukan Islam untuk dimasukkan dalam kitab Bible. Disebabkan berpegang teguh pada asas itulah hingga saat ini PR kekal dengan pendirian asalnya, tidak tergugat dengan tindakan drastik PAS yang telah mengubah pendiriannya. Sekaligus membuktikan keputusan Majlis Syura Ulama PAS tidak memberi sebarang impak dalam menentukan hala tuju gabungan tersebut. Justeru itu, Nik Aziz mahupun PAS sendiri tidak layak untuk mendabik dada mengumumkan isu kalimah Allah s.w.t telah selesai sepenuhnya. Dan dalam tempoh singkat menjelang PRU 13 ini, isu kesucian kalimah Allah s.w.t yang cuba dinodai PR akan terus menghantui PAS. |
Posted: 06 Feb 2013 04:35 PM PST Sekretariat Jom Tolak Pakatan akan meneruskan beberapa program roadshow dan minggu ini sahaja, empat program roadshow akan diadakan oleh sekretariat ini, ujar wakilnya Hamidzun Khairuddin. Ujarnya, asas kepada program anjuran Sekretariat ini adalah 20 dalil yang dikenalpasti sepanjang lima tahun pemerintahan pakatan DAP-PKR dan Pas di negeri Selangor. "Asas-asas kita berkisarkan isu yang berlaku di negeri Selangor. Realitinya sejak hampir lima tahun diperintah kerajaan pakatan ini, Selangor dibelengu dengan pelbagai krisis, polemik, penyelewengan dan masalah yang tidak pernah selesai. Dalam masa yang sama, apa yang lebih penting ialah pihak sekretariat akan mengadakan program Debat Rakyat. Pusingan pertama ini akan menemukan tokoh-tokoh NGO dengan pimpinan kanan Barisan Nasional. Seperti minggu lepas, kita telah mengadakan pertemuan (debat rakyat) antara Datuk Dr Hassan Ali, Presiden JATI dengan Dato' Seri Noh Omar dan pada minggu ini iaitu pada 8 Februari ini, kita akan menemukan pula YB Senator Ezam Mohd Noor dengan Dato' Seri Noh Omar," ujarnya dalam satu sidang media di sini, semalam. Seterusnya, pihak Sekretariat Jom Tolak Pakatan juga telah merancang untuk mengadakan Debat Rakyat antara pimpinan-pimpinan NGO seperti Dr Hassan Ali dengan ezam Mohd Noor, kemudian Datuk Zulkifli Noordin dengan Dato' Seri Noh Omar, seterusnya antara Dr Hassan Ali dengan Dato' Zulkifli Nordin dan akhirnya kita akan menemukan sekali lagi antara Datuk Dr Hassan Ali dengan Dato' Seri Noh Omar. "Ini merupakan pusingan pertama Debat Rakyat. Manakala pusingan kedua yang kita akan usahakan ialah untuk menemukan tokoh-tokoh NGO ini dengan pimpinan-pimpinan kanan parti pakatan – DAP, PKR dan Pas. Ini kita cadangkan akan dibuat pada bulan Mac ini. Antara cadangannya ialah untuk menemukan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan Dato' Zulkifli Noordin. Kita juga mencadangkan Debat Rakyat antara Dr Hassan Ali dengan Dr Rani Osman, Pesuruhjaya PAS negeri Selangor, kita juga mencadangkan debat antara saudara Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR merangkap Pengerusi PKR Selangor dengan Senator Ezam Mohd Noor dan akhir sekali, kita mahu mencadangkan pertemuan antara Dato' Seri Noh Omar untuk berdebat rakyat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim," ujarnya yang juga Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS). Tambahnya, Sekretariat Jom Tolak Pakatan ingin mengenengahkan isu-isu dengan fakta, kita mahu memberikan peluang kepada pakatan DAP, PKR dan PAS untuk mempertahankan 20 tuduhan, 20 dalil yang dikenalpasti sekretariat dalam bentuk berfakta dan kita kamu mengajak pimpinan pakatan ini untuk bersama-sama dalam debat rakyat ini. "Sekaligus kita boleh memberikan maklumat yang lebih adil kepada semua, semua parti politik yang bertanding dan dalam masa yang sama, kita boleh memberikan fakta politik yang lebih adil kepada rakyat supaya rakyat boleh mengambil ikhtibar daripada pengalaman-pengalaman pemerintahan parti-parti yang ada pada hari ini atau parti-parti yang memerintah sebelum ini," ujarnya lagi yang juga mantan Ketua AMK Negeri Selangor. |
Nik Aziz – Karpal Singh Berlakon ….. Posted: 06 Feb 2013 11:39 AM PST Ramai tertanya-tanya apa muslihat Mursyidul Am Pas Nik Aziz Nik Mat sanggup menyambut harijadinya ke 82 bersama Karpal Singh. Agak ganjil dan janggal melihat seorang yang digelar ulama dilihat menyambut satu perayaan peribadi yang bersifat kebaratan malah mempunyai unsur-unsur kekufuran dan bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW. Bukankah pada usia yang sudah dikatakan lanjut seorang agamawan seperti Nik Aziz sepatutnya menunjukkan tauladan serta akhlak yang berasaskan kepada moral Islam terutamanya kepada golongan muda dan belia? Sebaliknya Menteri Besar Kelantan itu memilih untuk memotong kek ulangtahun kelahirannya dengan seorang yang bukan Islam. Lebih molek jika Nik Aziz menganjurkan majlis keagamaan seperti doa selamat kesyukuran atau berzanji dan atas kurnia ALLAH SWT yang telah mengurniakannya umur yang oanjang dan tubuh badan yang sihat. Mungkin pada pandangan Nik Aziz menyambut harijadi dengan seorang kafir seperti Karpal lebih afdal daripada menghidupkan Sunnah Nabi SAW yang membawa agama Islam. Mengapa Nik Aziz sanggup membelakangkan tradisi Islam dalam menyambut harijadinya yang merupakan satu perkara yang sepatutnya enteng dan tidak mempunyai nilai kerohanian bagi seorang yang digelar Tok Guru oleh pengikut-pengikutnya? Nik Aziz sebenarnya berselindung di sebalik majlis tersebut untuk bertemu Pengerusi Kebangsaan Dap itu atas alasan mengeratkan kerjasama politik di antara Pas dan parti cauvinis Cina itu. Di permukaan penyokong-penyokong kedua-dua parti seolah-olah melihat wujud perpaduan erta serta kefahaman yang mendalam antara Pas dan Dap. Bagaimanapun jika diteliti dengan lebih dekat apa yang berlaku adalah hanya wayang kulit yyang dimainkan oleh Nik Aziz dan Karpal. Semua yang ada mata dan telinga serta fikiran yang waras sedar bahawa terdapat perbezaan yang kronik dan serius antara mereka. Perselisihan faham antara Pas dan Dap melebar bukan sahaja setakat perbezaan ideologi tetapi landasan perjuangan yang amat berbeza. Tidak ada persamaan antara kedua-dua buah parti kecuali permusuhan dan kebencian mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional tetapi selain daripada itu, perkahwinan politik mereka adalah seperti gandingan ayam dan itik. Jadi agak hebat juga lakonan dua orang yang umur gabungan mereka berjumlah lebih 150 tahun atau satu setengah abad! Kerjasama Pas dan Dap pada hakikatnya adalah seperti retak menunggu belah kerana bila-bila masa sahaja lagi apabila Pilihan Raya Umum ke 13 diumumkan Perdana Menteri, imej hipokrit dan bermuka Pas dan Dap sesama sendiri akan terdedah akhirnya kepada rakyat. Isu yang bakal meranapkan ikatan Pas dan Dap malah kerjasama dengan PKR juga adalah kalimah ALLAH yang sehingga masih tidak selesai dan tidak akan selesai kerana masing-masing memperjuangkan ideologi politik yang berbeza sekali. Pas dengan 'Negara Islam' yang sudah di turun taraf kepada 'Negara Kebajikan' sementara Dap pula dengan agenda anti-Islam dan anti-Melayunya manakala PKR pula hentam apa sahaja termasuk liberalisme, pluralisme dan LBGT. Jadi Pakatan Rakyat yang digembar gemburkan sebagai pengganti BN sebagai kerajaan persekutuan pada realitinya hanyalah kumpulan parti carca marba yang tidak ada halatuju dan destinasi yang ingin disasarkan. Dalam bahasa Inggeris kerjasama yang tidak secocok dan tidak sepadan ini dipanggil 'marriage of convenience'. Ini kerana mereka hanya sanggup tidur sebantal walaupun mimpi lain-lain disebabkan berkongsi motif yang sama iaitu untuk berebut kuasa, jawatan dan pangkat. Selalunya mana-mana kerjasama politik yang berteraskan kepada perkahwinan jenis ini tidak akan kekal lama. Mereka diibaratkan sekumpulan perompak atau pencuri yang bergabung tenaga dan kemahiran untuk merampas harta yang banyak. Sebaik sahaja misi mereka berjaya, maka mulalah masing-masing berkomplot untuk membunuh ahli-ahli geng yang sama-sama berusaha untuk melakukan rompakan itu. Akhirnya ahli-ahli kumpulan perompak itu akan berbunuhan sesama sendiri dan hasil rompakan mereka pun dinikmati pihak lain. Apa pun lakonan yang dipamerkan oleh Nik Aziz dan Karpal ltempoh hari langsung tidak meyakinkan orang ang berakal. Hanya penyokong yang taksiub dan buta hati sahaja yang tersenyum dan riang gembira betapa eratnya kedua pemimpin itu. Tanpa diketahui Nik Aziz dan Karpal sudahpun mengeluarkan pisau yang terselit di belakang untuk menikam sekutu sendiri. |
Propaganda Pilihanraya Sudah Lama Jerat Leher Pembangkang Sendiri – Jais Posted: 06 Feb 2013 05:30 AM PST Pakatan pembangkang telah tersalah perkiraan dalam menjangkakan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sehinggakan taktikal mereka dalam politik menjerat diri sendiri, kata Ahli Dewan Undangan Mahkota, Jais Sarday. Katanya, sebelum ini pakatan pembangkang menjangkakan bahawa PRU akan berlangsung pada penghujung tahun 2011 sehinggakan mereka melaksanakan perhimpunan jalanan atas nama Bersih 2.0 pada bulan Julai tahun terbabit namun jangkaan tersebut meleset. "Kemudiaannya mereka mewujudkan khabar angin PRU akan berlangsung pada pertengahan tahun kemudiannya dan Bersih 3.0 diadakan pada April 2012 namun malangnya ia juga tidak benar dan perhimpunan rakyat bangkit dilaksanakan awal tahun ini atas tujuan untuk wujudkan provokasi menjelang PRU tetapi tidak ada sambutan," katanya. Jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang, apabila pakatan pembangkang mencanangkan akan membubarkan DUN negeri yang ditadbir mereka lebih awal maka sebenarnya ia bersifat acah-acah saja sebagai satu lagi provokasi pakatan pembangkang terhadap Barisan Nasional (BN). "Kita lihat di Selangor, sudah berkali-kali Menteri Besarnya memaklumkan akan membubarkan DUN lebih awal tapi sehingga sekarang ia tidak berlaku kerana ternyata mereka sendiri tidak berani bertindak apatah lagi melaksanakan PRU antara Parlimen dan DUN secara berasingan. Ini ditambah lagi dengan konflik dalaman pakatan pembangkang sendiri maka kata-kata bubar DUN awal cuma satu lagi sandiwara mereka. "Pakatan pembangkang sudah kehabisan modal dalam menyerang kepimpinan BN terutamanya banyak perancangan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri ditunaikan dengan baik dan jika dibandingkan dengan pakatan pembangkang, jangankan untuk tunaikan janji tapi untuk selesaikan masalah rakyat pun gagal." Ujarnya, pakatan pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada kerajaan yang dibuat secara berterusan antaranya pelbagai tohmahan termasuk dalam konspirasi politik kepada kepimpinan tertinggi parti dan ahli keluarganya, memburukkan sistem pertahanan negara dengan kononnya kapal selam yang dibeli rosak, kakitangan polis mencukupi dan terbaru membuat tuduhan kerajaan bankrap. "Ini semua dilemparkan dengan harapan anggota jentera BN akan terpengaruh dan hilang fokus terhadap agenda parti sedangkan realitinya kita sentiasa melaksanakan amanah parti tanpa mengambil kira berkaitan telatah pakatan pembangkang. "Mereka mengatakan negara bankrap kerana mahu mempengaruhi pemikiran rakyat apatah lagi dengan pelbagai bantuan dari kerajaan sebagaimana BR1M, KR1M, bantuan persekolahan RM100, bantuan baucer buku dan macam-macam lagi yang telah disalurkan untuk kali kedua. "Tahun lalu ketika mula-mula bantuan tersebut diberi pakatan pembangkang melemparkan tuduhan kononnya kerajaan beli undi menjelang PRU tapi PRU tidak ada dan bantuan ini diteruskan malah ditambah lagi dengan BL1M, kad siswa 1Malaysia, baucer buku dinaikan RM50 lagi, bantuan kepada golongan belia dan macam-macam lagi." Tegasnya, ini membuktikan bahawa kerajaan tidak melaksanakan dengan main-main sebagaimana pakatan pembangkang sedangkan amat memalukan apabila pembangkang yang melemparkan tohmahan ini turut menerima dan mengambil bantuan yang disalurkan kerajaan. "Mereka ini tak tahu malu, kutuk dan fitnah macam-macam kepada kerajaan sedangkan mereka sendiri ambil duit yang disalurkan. Terbukti BN telus dan tidak pilih kasih kerana bantuan diberikan tanpa mengambil kira ideologi dan fahaman politik waima mereka yang mencerca kepimpinan BN sekalipun. "Sejak pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan tahun lalu hinggalah hari ini, saya tidak pula dengar ada ADUN atau Ahli Parlimen dari pakatan pembangkang yang memulangkan wang tersebut kerana pastinya mereka ini ada mempunyai anak-anak bersekolah yang mana turut mendapat RM100 setiap murid. Bermakna mereka juga sebenarnya gembira dengan dasar yang dilaksanakan BN." Sumber- MediaUMNO |
BN Lancar Aplikasi Telefon Radio Selangor BN.fm Posted: 06 Feb 2013 03:45 AM PST Radio Selangor BN.FM yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 17 Januari 2013 yang lalu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, sehingga kini, pendengar Radio Selangor BN.FM telah mencecah sehingga 80,000 orang. Bagi meluaskan lagi akses kepada radio Selangor BN.FM ini, Barisan Selangor dengan sukacitanya melancarkan aplikasi untuk pengguna telefon pintar. "Aplikasi ini boleh dimuat turun di telefon pintar dengan platform iOS untuk pengguna Iphone dan Ipad, pengguna Android, Windows dan Blackberry. Aplikasi ini boleh dimuat turun dengan menaip 'selangorbnfm' di ruangan appstore ataupun google play seterusnya install ke dalam telefon pintar," ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini. Tambahnya, sehingga kini, walaupun belum dilancarkan, terdapat lebih dari 100 individu yang telah memuat turun aplikasi tersebut dan Barisan Nasional mensasarkan sehingga 200,000 muat turun menjelang akhir bulan Februari ini. "Radio SelangorBN.FM juga akan menemuramah pemimpin-pemimpin politik utama di Selangor ini untuk mengupas pelbagai isu menarik. Sessi temuramah bersama peminpin ini turut akan dimaklumkan juga kepada pihak media untuk liputan media masing-masing," tambahnya. |
Kerajaan Khalid Yang Gagal Tunai Janji, Tapi BN Juga Yang Dipersalahkan Posted: 06 Feb 2013 01:14 AM PST Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini telah membuat pengumuman untuk membina Jambatan ke-tiga di Klang pada awal tahun ini Malahan, dengan nada berpolitik, Menteri Besar menuduh projek ini akan dilaksanakan kerana ianya gagal dibuat oleh Barisan Nasional. Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, difahamkan juga, sejumlah RM 300 juta akan diperuntukkan bagi tujuan pembinaan jambatan tersebut. "Hakikatnya, ini merupakan gula-gula politik bagi tujuan memancing undi semata-mata. Kerajaan Negeri sengaja mengaitkan Barisan Nasional dengan hal ini hanya kerana Kerajaan Barisan Nasional memulakan upacara pecah tanah. Namun setelah mereka mengambil alih pemerintahan, tanggungjawab membina jambatan memang sepatutnya di bawah Kerajaan Negeri. Strategi ini juga sebenarnya dilihat sebagai sengaja untuk mengalihkan isu-isu setemp[at yang lebih penting di Klang terutamanya Projek Tebatan Banjir yang dikatakan akan dibina. Malah difahamkan juga, peruntukan untuk projek ini sebanyak RM5 juta telahpun diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri," ujarnya dalam sidang media di sini, hari ini. Tambahnya, selain itu, Kerajaan Negeri juga pernah berjanji akan membina Pusat Kebudayaan di Klang namun sehingga kini tiada sebarang kemajuan berhubung projek tersebut. Pada tahun 2010 pula, Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 bilion untuk projek Pemulihan Sungai Klang. Namun sehingga hari ini masih tiada sebarang tanda-tanda projek tersebut akan dijalankan. "Nampaknya, janji untuk membina Jambatan Ke-tiga ini juga bakal menerima nasib yang sama. Kerajaan Negeri hanya berjanji untuk mengalihkan isu-isu yang membelengu mereka yang tidak mampu ditunaikan. Rakyat sudah mulai sedar bahawa janji-janji yang ditaburkan oleh pemimpin PAS, DAP PKR hanyalah janji populis untuk memenangi pilihanraya. Sebagai Kerajaan yang memerintah Selangor ini, PAS, PKR dan DAP sepatutnya tidak terus mengelirukan rakyat dengan janji-janji politik mereka sebaliknya bertindak menunaikan janji tersebut lebih-lebih lagi apabila Janji Manifesto 2008 masih banyak yang belum tertunai," tambahnya yang juga Setiausaha UMNO Negeri Selangor. |
You are subscribed to email updates from Sahabat-Gunung To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |