Sahabat-Gunung |
Wakil BN Pertikai Keperluan Pinjaman Kepada KDEB Posted: 05 Jul 2013 05:55 AM PDT Seorang wakil Barisan Nasional (BN)mempersoal dan meminta penjelasan kerajaan Selangor berkaitan tujuan pinjaman berjumlah RM413.2 juta kepada Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), yang termasuk dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2013. Sulaiman Razak (BN-Permatang) membangkitkan perkara itu semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan berjumlah RM761.44 juta di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini. Beliau berkata mengikut laporan sebuah akhbar pada 24 Feb lepas, KDEB membuat tawaran pada 14 Feb lepas untuk mengambil alih 254.6 juta atau 56.57 peratus saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) bernilai RM193.46 juta pada harga 76 sen sesaham. Sulaiman juga berkata perjanjian pembelian saham antara kedua-dua pihak ditandatangani pada 29 April lepas, iaitu lima hari sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei. Oleh itu, beliau meminta penjelasan sama ada perjanjian yang ditandatangani semasa kerajaan negeri berstatus kerajaan sementara lima hari sebelum PRU13 adalah secara kebetulan, atau sebaliknya. "Mengapa pengambilalihan saham itu dibuat tergesa-gesa walaupun kerajaan sedar bahawa keputusan ini menyebabkan defisit belanjawan bertambah sebanyak RM413 juta atau 25.33 peratus daripada belanjawan asal (RM1.63 bilion) dan bertentangan dengan dasar Bajet Berimbang," katanya. Sulaiman juga mempersoal sebab KDEB diberi pinjaman RM413 juta bagi pengambilalihan KHSB yang hanya berjumlah RM193.46 juta, dan ingin tahu kegunaan lebihan pinjaman berjumlah RM219.54 juta. Selain itu, beliau ingin tahu tempoh pembayaran balik pinjaman KDEB kerajaan negeri dan kadar faedah yang dikenakan ke atas syarikat itu. Beliau juga mempertikai sebab PKNS tidak menggunakan dana sendiri untuk mengambil alih tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk pembangunan Projek Datum In-City sedangkan ia mempunyai kedudukan kukuh dan keperluan memohon pinjaman RM80 juta menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan. "Apakah pentingnya PKNS membeli tanah itu semata-mata untuk projek mega Datum In-City sedangkan ada lagi tanah PKNS di Bangi dan Shah Alam untuk dibina projek perumahan mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," katanya. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata tujuan KDEB mengambil alih 100 peratus kepentingan KHSB kerana pengurusan KDEB berpendapat aset kumpulan berkenaan tidak diurus dengan baik dan operasinya perlu disusun semula. Beliau berkata jumlah pinjaman RM413.2 juta itu mengambil kira aset milik KHSB seluas 2,800 hektar bernilai RM6 bilion melebihi pinjaman RM413.2 juta, selain nilai saham. Abdul Khalid berkata kemudahan pinjaman itu adalah sebagai jaminan kepada kepada KDEB untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Beliau berkata KDEB, yang sedang berunding dengan pihak bank untuk mendapatkan pinjaman ketika ini, perlu membayar balik pinjaman itu dalam tempoh setahun dengan kadar empat peratus. Katanya, kelulusan permohonan pinjaman KDEB telah diluluskan kerajaan negeri selepas pilihan raya dan keputusan menandatangani perjanjian itu dibuat oleh Lembaga Pengarah KDEB serta KHSB. Mengulasi pinjaman RM80 juta kepada PKNS, Abdul Khalid berkata ia boleh diperoleh semula kerana pihak yang terlibat adalah agensi kerajaan negeri. "Pinjaman kepada kedua-dua syarikat (KDEB dan PKNS) ini bukan belanja hangus. Ia boleh dituntut," katanya. Sidang dewan kemudian meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan yang berjumlah RM761.44 juta. Persidangan Dewan bersambung Isnin ini. |
PRK Kuala Besut: BN Ramai Calon Pelapis Untuk Pertahankan Kuala Besut Posted: 05 Jul 2013 05:24 AM PDT UMNO Terengganu mempunyai pemimpin pelapis dan kita sedia memberi peluang kepada mereka yang layak dan berkemampuan untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat, jadi UMNO tidak mempunyai banyak masalah mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini. Ketua Penerangannya, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ramai anak jati di kawasan DUN berkenaan yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, termasuk agama boleh diketengahkan sebagai calon. Pucuk pimpinan BN negeri telah memutuskan untuk mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRK Kuala Besut seperti yang diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, baru-baru ini. "Kita akan menerima siapa saja nama yang bakal diumumkan untuk bertanding mewakil BN pada PRK berkenaan. "Kita yakin pihak tertinggi BN akan memilih calon terbaik dan mampu meneruskan kecemerlangan BN bagi memastikan kemenangan BN pada PRK Kuala Besut," katanya. ![]() "Pada masa ini UMNO Terengganu telah menggerakkan jentera pilihan raya dan siap sedia menghadapi pilihan raya berkenaan. Kita berharap rakyat di Dewan Undangan Negeri Kuala Besut membuat pilihan yang tepat untuk masa depan mereka sebagaimana pilihan yang mereka telah buat semasa pilihan raya umum baru lalu. Bukan mudah untuk menstabilkan negara yang berbilang kaum, agama, budaya dan latar belakang kerana banyak cabaran perlu ditempohi bukan sahaja oleh pemimpin tetapi juga rakyat. Justeru kekayaan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan dikongsi bersama, ini satu cabaran bagi pemimpin untuk menguruskan semua aspek pada masa yang sama, bagi memastikan kestabilan dan keamanan dalam Negara," ujarnya yang juga ADUN kawasan Seberang Takir. Pilihan Raya Kecil ini terpaksa diadakan berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu, Allhyarham Dr A. Rahman Mokhtar. Ia adalah kekosongan kerusi yang pertama selepas pilihan raya umum diadakan 5 Mei lepas dan menjadikan pilihan raya kecil yang pertama selepas pilihan raya umum ke 13. |
You are subscribed to email updates from Sahabat-Gunung To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |