AZLI SHUKRI |
Di Sini, Hitam Bukan Lagi Warna Posted: 02 Jun 2013 05:39 PM PDT Apabila ditanya mengenai perbalahan yang sering berlaku antara pemimpin dan aktivis parti pakatan pembangkang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata mereka boleh terus hidup selagi dan selama mana PAS, DAP dan PKR tidak serang menyerang antara satu sama lain. "Kalau kita nak kalah senang je. Kita pakat kutuk sesama kita. PAS kutuk DAP, DAP kutuk PAS. PKR curigai DAP dan PAS, manakala PAS pula curigai PKR. Akhirnya, kita pun akan bergaduh dan bila tiba pilihan raya (akan datang), kita kalahlah." Parti dalam pakatan pembangkang berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan kesepaduan. Selama ini, pemimpin mereka cuba menutup perbezaan antara mereka, walaupun hakikatnya perbezaan yang ada khususnya dari segi ideologi bagai gunung dengan gaung. Strategi mereka ialah bekerjasama atas prinsip persamaan dan tutup perbezaan. Justeru, mereka akan selindung persengketaan daripada pengetahuan awam. Tapi sampai bila? Apabila bangkai yang busuk sebesarnya gajah, macam mana nak tutup dengan nyiru? Kecam Presiden PAS Terbaru ialah kritikan Ketua Angkatan Muda Keadilan terhadap Presiden PAS. Beliau mengecam Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana membenarkan calon PAS bertanding di kerusi yang sudah ada calon PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Akibatnya, pembangkang kalah tujuh kerusi sangat berharga kepada BN. Seperti diduga, pemimpin PAS peringkat pertengahan membidas kritikan beliau. Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyelar PKR kerana berkeras meletakkan calon sehingga berlaku pertandingan tiga dan empat penjuru menyebabkan semua calon parti itu kalah. Seperti juga Makkal Sakhti dan Hindraf, PSM bakal mengambil keputusan untuk tidak bersama pakatan pembangkang. Sebelum PRU-13 pun, sering berlaku perbalahan antara pemimpin pembangkang. Di depan orang awam, semua nampak baik tapi di belakang, sama-sama mengutuk dan saling sabotaj. Di Pulau Pinang, pemimpin PKR berjawatan Timbalan Ketua Menteri kutuk Setiausaha Agung DAP berjawatan Ketua Menteri sebagai 'tokong' dan 'sombong'. Dalam kalangan pemimpin dan ahli DAP, ramai yang selar Guan Eng kerana kekecohan ketika pemilihan ahli jawatankuasa pusat parti itu. Mereka hairan Guan Eng, seorang akauntan, boleh salah kira undi yang hanya berjumlah ratusan sahaja dan menuntut beliau letak jawatan. Guan Eng juga dimarahi orang PAS kerana mencadang dibenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian. Presiden PAS dan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang pada mulanya menyokong Guan Eng, membuat keputusan sebaliknya apabila ditegur banyak pihak. Dalam mempertahankan Guan Eng, Karpal Singh menegur ulama PAS, yang membalas keceluparan Pengerusi DAP itu dengan amaran. Ada penyokong PAS yang mengancam agar PAS keluar daripada pakatan pembangkang. Anwar cuba salahkan Hadi Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba melepaskan diri dan menyalahkan Hadi dalam episod kalimah Allah itu. Beberapa pemimpin PAS memberi amaran akan mendedahkan pelbagai skandal dan anomali Ketua Pembangkang itu. Belum sempat berbuat demikian, orang kanannya sendiri, Azmin Ali membongkar keburukan Anwar, isterinya, Datin Seri Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah, masing-masing Ketua Umum, Presiden dan Naib Presiden PKR. Sekarang, ketika mana Anwar mengajak penyokongnya berarak dan berdemonstrasi membantah keputusan PRU-13, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan beberapa pemimpin DAP menolak cara Anwar menghasut rakyat. Bekas pengarang Harakah, Zulkifli Sulong, mengakui ada perbezaan luas dari segi dasar antara PAS dengan DAP dan PKR. Malah, di dalam PAS sendiri terdapat puak seperti dalam DAP dan PKR. Ada puak sokong profesional, ada puak sokong ulama, ada puak pro-muzakarah dengan Umno dan ada puak yang tidak setuju. Ada puak yang yakin dengan Anwar tetapi ada pula yang sangsi. Sebagai contoh, ketika Anwar mengumumkan mahu mengambil alih pemerintahan negara pada 16 September lima tahun lalu, ada pemimpin PAS termasuk Setiausaha Agung, Datuk Mustaffa Ali yang tidak yakin dengan kejayaan rancangan itu. Zulkifli yang menjadi panel kepada Anwar ketika debat dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 2008, berkata kemelut antara kepemimpinan parti pembangkang berpunca daripada cara Anwar sendiri. "Anwar meragukan sesetengah pemimpin PAS terhadap masa depan pakatan pembangkang. Bukan kerana tuduhan liwat tetapi cara dan metodologi Anwar untuk duduk di kerusi Perdana Menteri. Anwar perlu pastikan cita-cita rakyat untuk lihat perubahan terhasil, bukan cita-cita peribadi," tegasnya. Pendek kata, perbalahan, perang mulut dan kutuk mengutuk di antara pemimpin PAS, DAP dan PKR bukan rahsia lagi. Ini terlalu kerap berlaku, dalam media atau luar media. Lambat laun, keadaan akan bertambah parah. Nampak sangat agenda pakatan pembangkang sebenarnya sudah dirampas oleh seorang individu yang mahu menjadi perdana menteri sebelum meninggal dunia. Episod perpecahan barisan alternatif pada 2004 akan berulang ke atas pakatan pembangkang kerana perbezaan asas dan ideologi di antara PAS, DAP dan PKR juga adalah terlalu luas. Ibarat gatal yang menjadi bisul, apabila pecah keluarlah nanah. — Berita Harian |
You are subscribed to email updates from AZLI SHUKRI TODAY To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |