RIDHUAN TEE |
Posted: 05 Jul 2015 02:16 PM PDT Antara prinsip dan kuasa (Sinar Harian, 6.7.15) Teruja dengan pendapat seorang ahli akademik, yang mengingatkan Pas supaya jangan melibatkan diri dalam politik jika tidak mahu berkongsi kuasa. Masuk sahaja tarekat atau silat. Pendapat ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bergelar 'pakar sejarah'. Tidak dinafikan kongsi kuasa adalah salah satu elemen politik. Tetapi tidak semua dalam politik, boleh berkongsi kuasa. Politik bukan soal kuasa dan menubuh kerajaan semata-mata. Politik adalah juga soal prinsip atau privasi. Kadangkala bersendirian lebih baik dari berdua. Matlamat tidak menghalalkan cara. Jangan kerana terlalu berahikan kuasa, sehingga tergadai segala. Sejak awal lagi, Pas menegaskan bahawa matlamat mereka bukan hanya Putrajaya. Politik hanya alat, bukan matlamat. Jika ditakdirkan tidak ke Putrajaya, cukuplah di Kelantan sahaja. Tanpa Kelantan pun, Pas redha. Apa yang penting, mencari redha Allah, bukan murka Allah. Pastikan apa jua yang dilakukan boleh membawa kita ke syurga. Sejarah membuktikan bahawa Pas berbeza dengan parti politik lain. Pas mahukan Islam. Tidak, bagi ultra kiasu, sama ada yang Melayu atau bukan Melayu. Mereka hanya bertuhankan kuasa, mahu membebaskan tokoh tertentu dan membalas dendam terhadap Umno. Sebab itu, mereka tidak kisah walaupun matlamat menghalalkan cara. Pas keluar dari BN 1978 juga adalah kerana prinsip. Nyatakan sekali ahli akademik tersebut masih tidak mengenali Pas. Pas tidak ada masalah berkongsi kuasa dengan parti lain, tetapi bukan dengan ultra kiasu. Ultra kiasu tidak pernah bersetuju perjuangan Islam Pas. Mereka rapat dengan Pas pun kerana tiada pilihan. Adalah menjadi hak Pas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang lebih cenderung aspirasinya. Orang lain tidak berhak mengarahkan Pas buat ini dan itu. Mengambil contoh Turki dan Tunisia sebagai contoh kongsi kuasa adalah tidak sesuai. Kebanyakan negara di dunia bercorak sebangsa, berbanding Malaysia, berbilang bangsa dengan majoriti (Islam-60%)-minoriti (bukan Islam-40%) tidak besar. Kedudukan Islam dan umatnya akan tergugat jika umat Islam terus berpecah. Justeru, Pas amat matang dalam menentukan siapakah yang benar-benar boleh menjadi kawan dan siapakah lawan sebenar? Tidak menjadi masalah berkongsi kuasa dengan bukan Islam, selagi mana Islam tidak diperkudakan. Saya bukanlah orang Pas, tetapi selaku pengkaji, pada saya tindakan Pas itu betul. Asalkan Pas ada justifikasikannya. Seperti yang saya sebut minggu lalu, pasti ulama Pas memohon petunjuk Allah, seperti solat sunat isytikarah dalam membuat keputusan. Bukan macam parti lain, main terjah sahaja, ikut akal. Ya, dalam politik perlu ada strategi, tetapi pada masa sama, jangan lupa pohon petunjuk dan redha Allah. Saya tidak pasti G18 dan G25. Kadangkala kita ini nama sahaja Islam, nak tengok sekali-sekala solat jarang sekali. Maka bolehkah orang sebegini dipilih sebagai pemimpin? Sebab itu, dalam Islam, bila berpolitik, perlu ada syarat, bukan semborono, sekalipun kemenangan semakin hampir. Apa guna menang, jika Islam terkubur, pribumi hancur? Saya masih berpegang kepada prinsip dalam sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu, pembuat keputusan mestilah di kalangan orang Islam, tanpa menganiaya bukan Islam. Bukan Islam masih boleh memegang tampok kuasa tertentu, tetapi perjuangan Malaysian Malaysia mesti digugurkan. Ya, Malaysia untuk orang Malaysia, tetapi mesti berpandukan kepada perlembagaan. Memang, tuntutan bersatu atau kongsi kuasa memang menjadi galakan Islam. Namun, setelah beberapa kali cuba dan cuba, tidak boleh juga, maka ketika itu perpisahan dibenarkan oleh syarak. Ada kalanya kita perlu bertegas dan berkeras. Jangan asyik jadi pak turut. Islam tersebar melalui dua cara, hikmah dan juga ketegasan, seperti kenyataan adakah Islam tidak disebarkan melalui mata pedang? Ya, benar ada kalanya Islam tidak disebarkan melalui mata pedang. Tetapi dengan hikmah. Namun, dalam keadaan tertentu, fakta menunjukkan, Islam juga disebarkan melalui mata pedang. Jika tidak, bagaimana Islam boleh berkembang ke merata dunia. Islam akan dimusnahkan oleh musuh. Apabila sesuatu keadaan itu membahayakan Islam, maka tidak salah ketegasan boleh digunakan, bukan setakat memutuskan hubungan, termasuk juga berperang. Tetapi ada adab-adabnya. Misalnya, dalam perang, Islam mahukan kita menjaga beberapa perkara, jangan aniaya wanita, orang tua, kanak-kanak, rumah ibadat dan alam sekitar. Berperang hanya dengan musuh. Bukan mereka yang tidak bersalah, termasuk bukan Islam. Hari ini musuh telah menyerlahkan belang dan kemerbahayaannya. Adakah memutuskan hubungan dengan ultra kiasu soal tarekat atau silat? Apakah tindakan Pas tidak cerdik? Yang tidak cerdik itu adalah kalangan 'orang luar' yang tidak faham sejarah. Kita diajar, apabila berada dalam dilema, mana satu nak dipilih antara dua. Maka, ketika itu pohonlah petunjuk Allah. Saya agak petunjuk yang telah diberikan oleh Allah kepada pucuk pimpinan Pas adalah, utamakan saudara seIslam dari musuh kafir ultra kiasu. Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA |
You are subscribed to email updates from RIDHUAN TEE To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |