Panglima Perang Cyber |
Pemerdagangan manusia: Ahmad @Zahid_Hamidi sahkan beberapa rakyat Malaysia ditahan Posted: 20 Jun 2015 02:37 PM PDT
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beberapa tangkapan terhadap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis telah dilakukan. "Bukan sahaja waran tangkap tapi tangkapan juga telah dilakukan," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa bersama 200 anak yatim dari kawasan Parlimen Bagan Datoh di kompleks beli-belah Sogo pada Sabtu. Beliau ditanya sama ada waran tangkap telah dikeluarkan terhadap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket itu yang terbongkar selepas penemuan kem tahanan di Wang Kelian, yang dipercayai menjadi lokasi mengurung pelarian Rohingya dan pendatang dari Bangladesh. Beliau bagaimanapun enggan menyebut jumlah sebenar waran tangkap yang telah dikeluarkan. "Tak perlu sebut jumlah, tetapi ia satu jumlah munasabah mengikut laporan dan siasatan yang kita lakukan," katanya. Pada Mei lepas negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian. Setakat ini, 106 mayat dilapor telah dijumpai. Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa beberapa dalang sindiket telah diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia. Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata kerajaan kini sedang dalam proses mengekstradisi suspek utama sindiket berkenaan yang dikenali sebagai 'Yassin' yang telah ditahan pihak berkuasa Thailand. "Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan. Kita akan lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari," katanya. |
Malaysia Mohon 8 Suspek Rampas Orkim Harmony Diekstradisi - @Zahid_Hamidi @Bernama Posted: 20 Jun 2015 12:34 AM PDT Malaysia Mohon Lapan Suspek Rampas MT Orkim Harmony Diekstradisi - Ahmad Zahid Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi BAGAN DATOH, 20 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa Malaysia akan mengemukakan permohonan bagi lapan suspek perampas kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony diekstradisi ke negara ini untuk menghadapi pendakwaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Katanya permohonan esktradisi itu akan dikemukakan kepada dua negara iaitu Vietnam dan Indonesia agar siasatan serta pendakwaan dapat dijalankan selewat-lewatnya Selasa ini. "PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan siasatan lebih lanjut setelah siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam. "Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam, Kemboja serta Thailand yang turut memberikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Al-Khairiah, Selekoh di sini malam tadi. Lapan suspek itu yang merupakan warga Indonesia ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan negara itu kira-kira 6.30 pagi semalam. Ahmad Zahid juga tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang dalam berhubung kejadian itu, bagaimanapun siasatan terperinci perlu dilakukan berhubung perkara itu. "Ada baiknya kita tunggu siasatan daripada pihak berkuasa Vietnam dan PDRM yang akan melakukan siasatan terperinci serta pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk melakukan pendakwaan," katanya. MT Orkim Harmony, yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun lepas ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. Kapal milik Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. Operasi menyelamat kapal berkenaan yang dirampas lapan perampas berakhir semalam dengan kesemua anak kapal itu dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi. Bagaimanapun seorang daripada kru kapal iaitu tukang masak warga Indonesia Mavit Matin, 46, cedera di paha kerana ditembak perampas, telah diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil. Sementara itu di KUALA LUMPUR, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan lapan suspek yang ditahan pihak berkuasa Vietnam merupakan lanun yang merampas kapal tangki MT Orkim Harmony. Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pengesahan itu dibuat selepas pihak berkuasa Vietnam memaklumkan kepada APMM. "Sebelum ini mereka merupakan suspek sahaja, tetapi selepas disiasat dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Vietnam mereka adalah lanun yang merampas kapal berkenaan. "APMM buat masa ini sedang berunding dengan Vietnam untuk membawa mereka pulang ke negara ini bagi tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Katanya APMM telah memulakan siasatan sejak dalam perjalanan membawa pulang kapal berkenaan ke Pelabuhan Kuantan, yang diiringi KD Handalan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). "APMM sedang membuat siasatan terperinci dan mengambil setiap bukti yang ada terhadap kapal itu seperti mengambil cap jari serta mengambil keterangan daripada 22 kru kapal," katanya. Sementara itu, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata semalam pihaknya telah menunjukkan gambar tersebut kepada tukang masak yang cedera di tembak di paha kiri oleh salah seorang lanun untuk tujuan pengecaman, dan dia mengesahkan lapan individu dalam gambar berkenaan merupakan perampas terbabit. "Sekarang kes ini TLDM serahkan sepenuhnya kepada APMM untuk sebarang perkembangan terkini mengenai kapal terbabit," katanya. -- BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1145840 |
You are subscribed to email updates from Panglima Perang Cyber / Cyber Warlords To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |