Belantan |
Keputusan Hadi putus hubungan dengan DAP pandangan peribadi ? Posted: 01 Jun 2015 09:18 AM PDT TUMPAT – Calon Presiden Pas, Ahmad Awang menyifatkan keputusan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersedia memutuskan hubungan dengan DAP dalam pakatan pembangkang hanya sekadar pandangan peribadi beliau. Ahmad yang juga bekas Naib Presiden Pas menegaskan, sebarang ketetapan mengenainya hanya boleh diputuskan melalui muktamar, bukan melibatkan keputusan individu. Beliau berkata, setakat ini, Pas masih kekal dalam pakatan pembangkang sehingga terdapat cadangan baharu mengenainya pada muktamar nanti. "Siapa sahaja pemimpin tertinggi kata nak keluar pakatan hanya pendapat individu, malah bercanggah dengan muktamar. Kuasa tertinggi dalam parti adalah muktamar. "Kekal dalam pakatan pembangkang bergantung pada keputusan muktamar, kalau saya hendak macam itu (kekal) tetapi keputusan yang lain terserahlah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Kukuhkan Pakatan Pembangkang, Tumbangkan BN di sini malam tadi. Yang turut sama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari. Sebelum ini Abdul Hadi membayangkan persoalan sama ada Pas akan terus bersama pakatan pembangkang atau sebaliknya bakal terjawab selepas Muktamar Tahunan parti itu yang berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini. Krisis antara Pas dengan DAP timbul apabila wujud pertikaian membabitkan keputusan Abdul Hadi untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Malah pemimpin-pemimpin DAP, Setiausaha Agungnya yang belum disahkan, Lim Guan Eng secara berterusan mengkritik Presiden Pas itu termasuk mendakwa hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan, sebaliknya hati bersama UMNO. Sementara itu Ahmad ketika berceramah sebelum itu berkata, beliau mengakui pada mulanya Pas bersama DAP memang terdapat masalah tetapi hasil daripada perbincangan selain saling memahami di antara kedua-dua parti tersebut, segala percanggahan itu dapat diatasi. "Kita berpakat, itulah jadi pakatan, tetapi masalahnya ada sesetengah pemimpin itu tidak mahu bincang, datanglah masalah lain. "Sebabkan itu juga menyebabkan ada gaduh (tidak bersefahaman). Ketika-tiga pemimpin tertinggi Pas juga perlu bijak merungkai masalah ini agar Pas kekal dalam pakatan pembangkang," katanya. Dalam pada itu Ahmad berkata, Pas perlu kekal dalam pakatan pembangkang sekiranya mahu melihat parti itu terus maju ke hadapan. Suara Politik Belantan |
You are subscribed to email updates from Belantan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |