Quantcast
Channel: Barisan Nasional
Viewing all articles
Browse latest Browse all 15710

Belantan

$
0
0

Belantan


Hujah Nasharudin, realiti politik Pas?

Posted: 08 Feb 2013 07:31 PM PST


Sebahagian ahli PAS membuat demonstrasi secara aman terhadap kenyataan Karpal berhubung isu Kalimah Allah di Kota Bharu, baru-baru ini.

Pada Sabtu lalu, dalam satu sidang akhbar, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meluahkan rasa hatinya bukan sahaja berhubung soal pemecatan daripada Majlis Syura Ulama tetapi juga perjalanan politik Pas sejak menjalin kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Penulis percaya biar pun apa yang dikatakan oleh Nasharudin, ia tidak akan diterima oleh sesetengah golongan dalam parti itu sebagai satu kebenaran sebaliknya akan dijadikan 'peluru' untuk mencapai matlamat terakhir mereka menyingkirkan Nasharudin daripada Pas.

Berikut sedutan kenyataan Nasharudin dan ulasan penulis tentang kebenaran di sebalik apa yang beliau perkatakan berdasarkan kepada perkembangan terkini dalam pendekatan politik Pas.

* Menuntut keadilan, minta tindakan yang sama kepada siapa sahaja yang menyanggah ketetapan Majlis Syura Ulama.

- Ketika tercetusnya isu pelaksanaan hukum hudud yang ditentang keras oleh DAP, terdapat beberapa pemimpin Pas termasuk bertaraf Ahli Parlimen yang seolah-olah bersetuju dengan pandangan DAP.

Mereka berpendapat, hukum hudud masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini, bagaimanapun tiada tindakan diambil ke atas pemimpin-pemimpin berkenaan biar pun kenyataan mereka dilihat bertentangan dengan Majlis Syura Ulama yang menegaskan Pas tetap memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud.

Tetapi apabila Nasharudin mempertahankan pendirian Pas dan sanggup berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah, ada desakan di dalam Pas agar Nasharudin dipecat kerana dilihat menjejaskan hubungan Pas dengan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

* Menggesa tarik balik keputusan yang dibuat bersama pakatan pembangkang dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

- Pas harus menerima gesaan Nasharudin ini memandangkan ketika ini parti itu dilihat mempunyai dua pendirian berbeza.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin PKR dan DAP bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam tetapi Majlis Syura Ulama membuat keputusan sebaliknya.

Oleh itu gesaan Nasharudin supaya keputusan bersama pakatan pembangkang dalam isu tersebut ditarik balik adalah betul.

Langkah itu bagi menggelakkan, Pas dilihat tidak ikhlas dalam isu kalimah Allah apabila mempunyai dua keputusan berbeza dan paling buruk kedua-duanya ditafsirkan demi menjaga kepentingan politik bersama pakatan dan menjaga hati penyokong Pas.

* Melihat mutakhir ini banyak percaturan Pas mengambil kira keuntungan politik terlebih dahulu daripada dasar dan asas perjuangan parti itu.

- Sebenarnya, ini bukan pandangan Nasharudin seorang, malahan sebahagian besar orang Melayu dan umat Islam melihat begitulah sikap Pas sejak berkawan dengan PKR dan DAP.

Keterujaan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dibuai mimpi menjadi kerajaan bersama-sama kedua-dua parti itu telah memungkinkan Pas bersedia berkompromi sehingga Pas dilihat tidak lebih hanya sekadar 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Paling trajis apabila Pas mengubah hala tuju perjuangannya daripada negara Islam kepada negara berkebajikan selepas perjuangan negara Islam ditentang habis-habisan oleh DAP dan disokong oleh PKR.

* Kewujudan golongan parasit dalam Pas

- Apa yang diperkatakan oleh Nasharudin bukanlah perkara baru tetapi sudah didedahkan oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali pada tahun lalu. Hasan pernah mengingatkan kepimpinan Pas bagaimana di dalam parti itu wujudnya golongan parasit yang bersedia mengorbankan apa sahaja demi memenuhi tuntutan politik dengan PKR dan DAP.

Golongan inilah yang telah memungkinkan imej Pas sebagai parti Islam semakin tercalar. Golongan parasit ini lebih mempercayai kekuatan yang ada kepada pemimpin-pemimpin PKR dan DAP, sebab itulah mereka sentiasa memainkan peranan agar Pas dalam apa juga keadaan perlu selari dengan kedua-dua parti tersebut.

Mereka juga didakwa menjadi 'penghasut' untuk memastikan mana-mana pemimpin yang dilihat cuba bertegas dan memperjuangkan dasar perjuangan asal Pas disingkirkan dan itulah yang dialami oleh Hasan dan mungkin akan disusuli oleh Nasharudin.

* Untuk membawa agenda Islam serta membawa Islam ke tempat yang sepatutnya, membela rakyat dan menghidupkan semangat negara Islam dan negara berkebajikan yang diperjuangkan Pas.

- Sebenarnya Nasharudin ingin memperingatkan Pas bahawa itulah sebenarnya asas penubuhan parti itu yang dilahirkan oleh sekumpulan ulama pada tahun 1951. Kehadiran Pas di persada politik tanah air bukan semata-mata untuk memburu kuasa politik dan bermusuhan dengan mana-mana parti apatah lagi yang dianggotai oleh insan yang sebangsa dan seagama.

Tetapi malangnya, semangat negara Islam itu sudah luntur kerana Pas tidak mahu ia menjadi halangan kepada hubungan politik dengan PKR dan DAP. Sebab itulah Pas melunakkan istilah negara Islam kepada negara kebajikan.

Bagaimanapun perjuangan negara berkebajikan yang dibawa oleh Pas pula mengelirukan kerana dasar-dasar yang diamalkan oleh UMNO dan BN sejak merdeka sudah memenuhi konsep tersebut.

* Kekuatan Pas yang sudah sedikit tercair dan tahaluf siyasi.

- Tidak dinafikan Pas mempunyai kekuatan tersendiri sebab itulah parti itu berupaya menjadi salah satu pemain utama dalam persada politik tanah air. Malangnya, apabila berkawan dengan PKR dan DAP, Pas seolah- olah merelakan mereka dilayan bagaikan melukut di tepi gantang, sedangkan sepatutnya berdasarkan rentetan sejarah serta kekuatan Pas, parti itu seharusnya menjadi parti dominan manakala pemimpin mereka menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

Namun semua itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya tanpa menghormati kekuatan Pas yang dianggap mempunyai kredibiliti tersendiri dan sejarah perjalanan politik yang lebih cemerlang berbanding PKR dan DAP, apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu seolah-olah mengerahkan Pas sebagai 'khadam' untuk memastikan kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya.

* Dituduh menjadi alat atau dibeli oleh UMNO.

- Sebenarnya inilah strategi yang digunakan oleh Pas bagi memburuk-burukkan mana-mana juga pemimpin mereka yang dilihat bercakap atas dasar kebenaran. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk menanam dalam fikiran penyokong-penyokong Pas kononnya, pemimpin yang berbuat demikian biar pun bertegas mengenai perjuangan asal Pas sudah dipengaruhi oleh UMNO.

Ini adalah sindrom politik kebencian yang meresapi Pas melalui 'tarbiah' yang diperolehi daripada PKR. Justeru tidak hairanlah apabila Nasharudin mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ia tidak akan dilihat dari sudut kepentingan umat dan agama Islam tetapi dari pandangan politik sempit.

Demikian sebahagian pandangan Nasharudin dan ulasan penulis berhubung kenyataan beliau. Terserahlah kepada pemimpin dan penyokong Pas untuk memikirkan kebenaran di sebalik semua hujah ini.

Apa yang pasti, PKR dan DAP telah berjaya mencairkan kekuatan Pas sebagai sebuah parti pembangkang yang dikagumi, segala-galanya bak kata Nasharudin, ''…kerana terlampau ingin meraih dan memenuhi kehendak rakan-rakan dalam pakatan pembangkang."

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Pas gagal berlapang dada?

Posted: 08 Feb 2013 09:56 AM PST


Nasharuddin Mat Isa dan Dr. Hasan Ali yang dihukum oleh Pas.

Rentetan pemecatan tanpa bicara oleh Pas terhadap beberapa tokoh yang pernah menjadi ayam tambatan mereka, benar-benar menimbulkan pertanyaan kepada banyak ahli parti itu terutama di peringkat akar umbi yang telah menyokong Pas sejak sebelum zaman reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi.

Umum mengetahui bahawa Pas, seperti juga PKR adalah parti oportunis yang menimba keuntungan politik besar hasil daripada penyingkiran Anwar daripada UMNO dan Kabinet menteri.

Rakyat dimomokkan dengan kata-kata seorang yang begitu berkuasa seperti Anwar boleh dipecat oleh Perdana Menteri sebegitu sahaja; bayangkan rakyat marhaen pula! Apa saja kerajaan 'zalim' BN boleh lakukan terhadap mereka. Ceramah politik besar-besaran berlaku di sana-sini pada ketika itu dengan pengumuman penyertaan tokoh-tokoh UMNO yang pro-Anwar ke dalam parti pembangkang.

Penulis masih ingat menghadiri ceramah bagi meraikan penyertaan Datuk Dr. Hasan Ali yang merupakan seorang motivator popular di televisyen pada ketika itu ke dalam Pas di Kelana Jaya. Hasan diangkat sebagai wira ulung Pas! Malah beliau dinaikkan ke jawatan Naib Presiden Pas dalam sekelip mata, menyingkirkan Naib Presiden lain yang lebih senior seperti Almarhum Ustaz Hassan Syukri.

Hal ini dilakukan bagi memberi wajah profesional baru terhadap Pas yang ketika itu hanyalah berimej lebai kampung. Setiap kali nama Hassan diungkapkan, akan disambut dengan laungan Allahu Akbar daripada pengikut yang taksub. Ustaz Nasharudin Mat Isa juga begitu dijulang hingga dikatakan beliau adalah bayangan kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Habis madu sepah dibuang. Hasan dan Nasharudin bukan siapa-siapa lagi bagi Pas. Mereka dianggap liabiliti terhadap parti kerana mementingkan perpaduan ummah melebihi daripada assobiyah politik yang melampau.

Mereka melihat UMNO sebagai saudara se-Islam dan ini adalah dosa besar bagi pengikut fahaman Pas masa kini. Lalu mereka ditendang keluar daripada parti ibarat anjing kurap yang tidak ada sedikit jasa pun kepada parti malahan pembawa masalah bagi Pas dalam bersekedudukan dengan PKR dan DAP.

Mereka langsung tidak dipanggil untuk memberi tunjuk sebab atau diberikan perbicaraan yang adil. Bayangkan, bekas orang nombor 2 Pas yang dikatakan bayangan Ustaz Fadzil Noor dibuang begitu saja!

Apa yang menarik adalah sungguhpun mereka berdua 'dibuang' daripada parti dengan cara yang begitu tidak terhormat, mereka berdua kekal tidak mengkritik pemimpin utama mereka seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mereka kekal menghormati kedua-dua tokoh tersebut malah Hasan secara terbuka menyatakan dia masih sayang pada Pas dan mahu Hadi Awang memimpin negara, bukan Anwar Ibrahim seperti persetujuan pakatan pembangkang.

Inilah saki baki 'ajaran songsang' Pas yang telah indoktrinasi kepada ahli mereka. Pas mengamalkan sistem pentarbiyahan yang memerlukan ahlinya terutama di peringkat pimpinan mengungkapkan bai'ah kepada pemimpin mereka.

Seperti yang didedahkan oleh pemimpin Pas sendiri, bai'ah talak tiga juga adalah antara cara Pas mengikat ahli-ahli dan pimpinan-pimpinan mereka daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan kepentingan parti. Silap langkah, isteri mereka boleh tertalak secara automatik. Begitulah Pas mengikat kesetiaan ataupun wala' terhadap pemimpin parti mereka.

Tafsir Surah Al Hujurat karangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadikan silibus untuk usrah-usrah mereka dalam mengkader ahli. Kesetiaan kepada pemimpin adalah tiada tolok bandingannya seperti kesetiaan terhadap Rasulullah.

Kisah-kisah seperti pemecatan Khalid Al Walid RA sebagai panglima tertinggi tentera Islam oleh Khalifah Umar Al Khattab RA didendangkan kepada ahli-ahli Pas agar mereka mencontohi sifat Khalid apabila disingkirkan dan diganti dengan Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah RA.

Khalid Al Walid tidak menentang atau mempertikaikan keputusan Saidina Umar malah turut berjuang di medan perang walaupun hanya sebagai tentera biasa. Malah dinukilkan juga di dalam kitab karangan Presiden Pas tersebut, sekalipun pemimpin negara adalah seorang yang fasiq, arahan-arahannya yang tidak bertentangan dengan syariat hendaklah dipatuhi!

Inilah sifat yang sewajarnya ada pada seorang Muslim apabila berhadapan dengan keputusan pemimpin negara. Maka tidak hairanlah, Nasharudin dan Hasan Ali berdiam diri dan menerima pemecatan mereka dengan hati terbuka walaupun disingkirkan dengan cara yang tidak bermaruah.

Ironinya, apabila Sultan Perak yang merupakan pemimpin tertinggi negeri menyingkirkan Menteri Besar Pas, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Pas tidak boleh berlapang dada seperti Khalid al Walid, sebaliknya memilih untuk sembah derhaka, berguling di jalan raya, menyekat kereta Raja dan bersidang di bawah pokok.

Nik Aziz juga tidak boleh berlapang dada apabila Sultan Selangor selaku Ketua Agama Negeri melarang penggunaan masjid-masjid di negeri baginda sebagai medan berkempen oleh semua parti politik. Titah baginda ini bersempena dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang bertujuan untuk mengelakkan perpecahan umat Islam. Nik Aziz malah menempelak secara terbuka arahan baginda dengan mengatakannya karut dan saki baki ajaran penjajah.

Terbaharu dalam isu kalimah Allah, selang hanya 1 jam selepas pengumuman titah Baginda Sultan Selangor tentang larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, pakatan pembangkang muncul membuat sidang akhbar menyatakan kesatuan mereka membenarkan penggunaan kalimah tersebut. Mereka tidak redha dan akur dengan keputusan pemimpin tertinggi yang mempunyai autoriti dalam urusan agama negara kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mereka tidak boleh bersikap seperti Khalid apabila tindakan yang tidak menyebelahi nafsu politik mereka diambil oleh pemerintah tertinggi negeri atau negara. Mengapakah Pas gagal berlapang dada kepada arahan pemimpin tertinggi ini? Seolah-olah ketaatan atau wala' kepada pemimpin yang mereka pelajari hanya terpakai untuk pimpinan Pas tetapi tidak bagi Raja dan Sultan yang memerintah negeri?

Dalam pada mereka menyuruh Ustaz Nasharuddin dan Dr. Hasan berdiam diri dan akur menerima pemecatan mereka dengan berlapang dada seperti Khalid Al Walid RA dan tidak mempertikaikan keputusan pimpinan, Pas sendiri gagal mengaplikasikan sikap mulia tersebut untuk diri mereka sendiri justeru menggunakan taktik matlamat menghalalkan cara sebagai gaya mereka untuk berpolitik dan beragama.

Oleh itu, Pas harus bermuhasabah dengan ancaman Allah SWT tentang golongan yang bercakap tak serupa bikin.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."- Surah As Saff (2-3). (UMO)

Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Zainon buat laporan polis?

Posted: 08 Feb 2013 05:12 AM PST



Penulis buku Kafirkah Aku? dan Air Mata Di Bumi Memali, Zainon Ismail atau CN Al-Afghani hari ini menyahut cabaran Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar dengan membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan Tabung Memali.

Zainon yang juga bekas aktivis tegar dan ahli seumur hidup Pas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 10 pagi semalam. Beliau berjaya mengelak daripada ditemui pemberita dan dikatakan keluar dari IPD setengah jam kemudian namun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

Bagaimanapun Zainon memberitahu, satu sidang akhbar khas akan diadakan malam esok berhubung perkara itu.

"Isi kandungan dan apa perkara yang dilaporkan hari ini akan saya beritahu malam esok," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, antara penyelewengan yang dinyatakan dalam laporan tersebut adalah mengenai penganiayaan terhadap balu Memali yang diarahkan membayar sejumlah RM3,000 bagi membiayai kos guaman pada tahun 2007. Selain itu, laporan itu juga mempersoalkan 'kehilangan' wang berjumlah RM30,000 hasil jualan mesin jahit kepunyaan bengkel jahit Memali.

Sebelum ini, Salahuddin dan Mahfuz mahu Zainon membuat laporan polis jika benar berlaku penyelewengan terhadap Tabung Memali selepas beliau mendesak pucuk pimpinan Pas menyiasat perkara itu.

Zainon yang merupakan salah seorang daripada tiga individu yang bertanggungjawab mengurus Tabung Memali membuat desakan tersebut selepas tidak sanggup lagi melihat hak serta harta anak yatim, balu dan mangsa Memali 'diratah' pihak lain.

Suara Politik
Belantan

'Pas cukup sayang DAP'?

Posted: 08 Feb 2013 12:35 AM PST



Pas tidak mempunyai keberanian untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana parti itu terlalu bergantung kepada DAP.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis berkata, Pas cukup sayang kepada DAP sehingga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup meraikan sambutan hari lahirnya bersama Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Pas takut kalah kalau keluar daripada pakatan pembangkang, jadi takkan hendak 'bercerai' dengan DAP.

"Bercerai dengan Nasharudin (bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa) tidak apa tetapi bukan dengan Karpal," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Terdahulu, Dr. Mahathir melancarkan buku bergambar bertajuk Antarctica: Malaysia's Journey To The Ice oleh Pusat Penyelidikan Nasional Antartika di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan Nasharudin supaya Pas meninggalkan pakatan pembangkang dan bergerak bersendirian bersandarkan kekuatannya jika mahu kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Tegas Nasharudin, kerjasama dengan PKR yang membabitkan pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ehwal dalaman telah melunturkan kekuatan Pas.

Suara Politik
Belantan

Viewing all articles
Browse latest Browse all 15710


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>