Belantan |
- Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina : Akhbar rasis Nanyang Siangpau bangga dengan kebangkitan kaum Cina dalam PRU ke-13?
- 'Red Bean Army' cuba cabar kesabaran polis?
- Parti tunggal - Siapa yang untung, siapa yang melopong?
- Hasut rakyat ubah kerajaan cara tidak sah?
- Penduduk selar Ahli Parlimen Pas?
Posted: 30 May 2013 09:37 PM PDT PERLU TERUS AGRESIF DEMI KAUM CINA Akhbar Nanyang Siangpau bertarikh 23 Mei 2013 memaparkan tulisan Loh Han Chew melalui ruangan Pendapat Yuan Lun berkenaan meneruskan perjuangan agresif kaum Cina. Pilihan raya umum (PRU) kali ini terzahir keadaan yang membanggakan. Masyarakat Cina akhirnya melihat diri mereka sebagai bukan kaum yang dikatakan dingin terhadap politik. Dahulu ada yang kata orang Cina hanya pandai cari duit, tidak berminat, dingin terhadap politik dan dingin membuang undi di musim pilihan raya. Tetapi daripada keputusan PRU kali ini, rupa-rupanya sebelum ini orang Cina rasa kecewa terhadap politik, keadaan struktur politik sedia ada serta garis sempadan kawasan yang tidak seimbang. Orang Cina menganggap kalah terlebih dahulu sebelum pilihan raya diadakan, sebab itu mereka tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap PRU kerana tidak kira macam mana PRU dilaksanakan, kemenangan tetap akan memihak kepada parti pemerintah. Tiket undi yang ada di tangan tiada kesan, sebab itu tidak ramai orang Cina yang turun mengundi, malah ada yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Sebaliknya, PRU kali ini orang Cina secara agresif turun mengundi, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini. Ramai pengundi yang berusia 20-an sehingga usia 60 dan 70 tahun turun mengundi. Sikap mereka berbeza dengan dahulu. Kini mereka bertukar menjadi "tidak boleh kurang walaupun satu undi dari saya". Diharap orang Cina terus mengekalkan sikap agresif sedemikian pada masa akan datang. Perlu diingat, kawasan sempadan di kerusi Parlimen pembangkang ditambah dengan bilangan orang Melayu yang banyak, kesedaran mereka terhadap politik tidak kurang hebatnya daripada kaum Cina. Pendidikan mereka, bahasa mereka dan kesedaran mereka begitu terbuka, ilmu pengetahuan tentang politik orang Melayu ini telah ditarik dan dipengaruhi oleh sebahagian daripada orang Cina. Ini bermakna orang Cina boleh gabungkan kekuatan politik bersama mereka, sebab itu orang Cina jangan lagi memperkecilkan dan memandang rendah terhadap kekuatan satu tiket undi yang ada di tangan. Fenomena baharu yang berlaku termasuk rakyat kita dari luar negara secara agresif kembali membuang undi, sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Ada yang sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit untuk kembali ke tanah air melalui kapal terbang sementara pekerja di Singapura mengambil cuti dua hari lebih awal kembali ke kampung halaman untuk membuang undi. Semua ini menunjukkan mereka sudah ada kesedaran "tidak boleh kurang walaupun satu tiket undi dari saya". Orang yang dari luar negara ini, termasuk yang balik dari Singapura, ramai daripada mereka adalah orang Cina. Menampakkan orang Cina tidak kira mereka tinggal di mana sahaja, walaupun sejauh beribu batu mereka langsung tidak gentar, setiap saat mereka ingat negara kesayangan mereka ini, jiwa mereka di Malaysia. Orang yang menggelarkan orang Cina pendatang, orang yang mahu orang Cina balik ke China, apa pula anda hendak katakan? Satu lagi fenomena yang berlaku iaitu dalam pertubuhan-pertubuhan Cina termasuk bidang seni dan bidang profesional, mereka telah secara terbuka mengumumkan mereka sokong dwikuasa, menyeru orang ramai memperkukuhkan dwikuasa. Yang tidak disangka-sangka, ahli-ahli korporat, ahli-ahli sains juga secara terbuka mengemukakan pandangan politik mereka. Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Supermax Corporation Berhad, Tay Kim Soon juga, walaupun saham syarikat itu jatuh, beliau tetap tidak berganjak terus menyokong penuh dan berkempen untuk pakatan pembangkang. Ada sesetengah ahli korporat walaupun tidak berani berterus terang ikut cara beliau tetapi mereka juga menguatkan semangat memberi sokongan. Selain itu, ahli korporat Taiwan, Pua kian Seng, kembali semula ke tanah air melabur, juga memberi sokongan. Dalam perbualan antara gabungan Tay dan Pua, kedua-dua mereka ini ada tujuan yang sama, mereka berdiri semata-mata untuk bangsa dan negara ini. Walaupun besar kemungkinan industri dan pelaburan mereka akan terjejas dan rugi, mereka lebih pentingkan bangsa dan negara diletakkan di hadapan. Mereka sudah tidak mahu berkira apa-apa, di dalam jiwa mereka semata-mata mahu berjuang untuk bangsa dan negara, mereka tidak hiraukan kepentingan diri sendiri, menyebabkan orang lain rasa kagum. Orang yang kembali melabur di tanah air, mereka ini juga ada yang berusia 30-an, pertama kali mengundi. Mereka juga sayangkan tanah air, mereka mengundi kerana sayangkan negara ini dan rakyat di negara ini. Kami percaya ramai dalam kalangan orang Cina rasa kecewa terhadap keputusan PRU tetapi kita kena ingat kota Rom bukan disiapkan dalam masa satu hari dan orang Melayu golongan pertengahan juga telah memberi sokongan kepada pakatan pembangkang, sebab itu pakatan peroleh kemenangan lebih daripada separuh tiket undi. Kini, dwikuasa telahpun terbentuk, orang Cina perlu terus kekalkan sikap sebegini, mengambil bahagian secara agresif setiap sesi PRU yang diadakan, pasti kita akan menemui masa depan yang indah. Yang mendapat lebih separuh undi di luar kerajaan, yang memperoleh tidak sampai separuh pula memerintah, bukankah kerana masalah sistem PRU yang melucukan? Sedangkan Amerika Syarikat kata, sistem PRU di negara kita boleh dipercayai. Bukankah semua orang telah membuat kita penat sahaja? Suara Politik Belantan |
'Red Bean Army' cuba cabar kesabaran polis? Posted: 30 May 2013 06:35 PM PDT Ugut demonstrasi pertikai keputusan PRU-13 Keazaman Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk memerangi segala bentuk jenayah amat dinantikan kerana sebelum ini persepsi orang ramai ialah polis seolah-olah buntu untuk menanganinya. Satu usaha baru polis sebagai mana diumumkan Khalid ialah menubuhkan sebuah Jabatan Pencegah Jenayah bermula di ibu pejabat polis di Bukit Aman dan disusuli di semua kontingen polis negeri dan di setiap daerah untuk berganding bahu dengan Jabatan Siasatan Jenayah. Ketika mengumumkan penubuhan jabatan baru itu, Khalid memberi jaminan ia adalah satu komitmen polis untuk mencegah jenayah sejajar kehendak masyarakat yang mahu melihat polis berperanan lebih efektif memerangi jenayah. Malah kolum ini pernah menyorot satu daripada sebab kenapa hampir keseluruhan pengundi bandar tidak menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu juga berkaitan dengan berleluasanya jenayah di bandar. Begitu buruknya keadaan atau setidak-tidaknya persepsi umum terhadap perlakuan jenayah hinggakan ramai penghuni dan pengunjung berasakan mereka tidak selamat apabila berada di bandar walau pun pada siang hari. Penjenayah warga luar Sesungguhnya, terlalu banyak kejadian ragut, rompakan dan pecah rumah berlaku di Kuala Lumpur dan bandar sekitarnya. Keadaan begitu serius hingga terpaksa diadakan papan tanda mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di kawasan jenayah ragut. Jenayah pecah rumah juga sering berlaku dan polis dilihat begitu tidak bermaya untuk menangkap penjenayah terbabit dan menghadapkan mereka ke mahkamah. Kes pecah rumah begitu berleluasa hinggakan penghuni sesuatu kawasan perumahan terpaksa pula menyediakan pasukan keselamatan untuk mengesan orang yang keluar masuk di kawasan mereka. Malah, ada pihak menyatakan kalangan penjenayah ialah warga negara Amerika Selatan seperti Columbia dan Peru serta negara Afrika seperti Nigeria dan Kenya dikatakan datang ke negara ini untuk melakukan pelbagai jenayah serta penipuan melalui internet. Gerakan 'Red Bean Army' Malangnya, ketika pihak polis berusaha memerangi jenayah sedemikian, ia terpaksa pula berdepan dengan perbuatan puak yang digelar 'Red Bean Army' yang berterusan menghasut orang ramai membenci kerajaan serta kumpulan yang tidak henti mengadakan perhimpunan haram di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU-13. Mereka yang diketuai Anwar Ibrahim itu berterusan mendakwa berlaku penipuan ketara dalam PRU-13, termasuk ketika pengiraan undi. Walaupun peruntukan sedia ada membolehkan sesiapa saya yang mempertikaikan keputusan pilihan raya itu mengemukakan petisyen ke mahkamah sebagai mana yang akan dilakukan parti pembangkang sendiri, mereka tetap meneruskan perhimpunan haram itu. Malah, mereka dengan selamba mengumumkan akan melakukan demonstrasi jalanan besar-besaran, iaitu BERSIH 4.0 jika kepemimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melepaskan jawatan seperti yang dituntut. Rakyat mahukan keamanan Sememangnya, puak tidak bertanggungjawab itu mahu mewujudkan keadaan cemas yang memberi tekanan hebat kepada pihak polis untuk memastikan perhimpunan sedemikian tidak mencetuskan kacau-bilau. Mereka seolah-olah mencabar kesabaran pihak polis serta berharap tindakan tegas pihak berkuasa akan mencetus huru-hara. Bukankah perlakuan itu suatu usaha Anwar untuk namanya terus dipaparkan media? Justeru, apa yang perlu dilakukan media arus perdana ialah berhenti memberikan ruang publisiti kepada ketua pembangkang itu. Media arus perdana harus bersikap seolah-olah beliau sudah tidak lagi bermakna dalam politik tanah air. Sekali pun pelbagai perhimpunan itu dapat diadakan secara aman, orang ramai tetap cemas kerana suasana tegang diwujudkan pihak pembangkang itu boleh mencetuskan kekacauan. Majoriti rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan tidak merestui tindak-tanduk sedemikian. Apa yang diingini rakyat ialah suasana aman dan tenteram untuk negara terus bergerak maju.-BH Suara Politik Belantan |
Parti tunggal - Siapa yang untung, siapa yang melopong? Posted: 30 May 2013 09:15 AM PDT Ura-ura mahukan satu parti politik sahaja, perlu dibuat kajian yang amat teliti, mendalam dan serius. Cadangan ini telah kita ketahui telah lama disarankan oleh parti Gerakan setelah mereka kalah dalam PRU-12. Kita sebagai orang Melayu dan parti UMNO khasnya haruslah memikirkan dari segi untung ruginya jika satu parti sahaja diwujudkan iaitu Barisan Nasional (BN). Sudah tentu tiada lagi UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak! Parti-parti ini umumnya berjuang dan berpaksikan kepada satu kaum atau bangsa dan aspirasi perjuangan bangsa sejak sebelum dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Berdasarkan masyarakat majmuk di Malaysia, adakah cadangan ini baik atau menguntungkan orang Melayu dan Islam? Jika kita mahu mengambil contoh negara lain atau negara jiran terdekat seperti Thailand dan Filipina, mereka terdiri daripada kaum sama atau setidak-tidaknya mereka berfahaman dan menganut agama sama. Di negara kita amat berbeza sekali kerana majoriti penduduk yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, manakala kaum minoriti orang Cina dan India pula yang berfahaman dan menganut agama yang berbeza. Keputusan PRU-13 yang lepas kita telah menyaksikan berlaku tsunami orang Cina mengundi pembangkang terutama DAP. Parti komponen BN terutamanya MCA dan Gerakan telah kalah teruk. Jika tanpa sokongan orang Melayu yang menjadi majoriti senyap, maka parti UMNO pun sudah lama 'bungkus'. BN pun pasti rebah dan tumbang menyembah bumi jika tanpa bantuan orang Melayu, bumiputra Sabah/Sarawak dan segelintir orang India. Jadi kita rasa jika sistem satu parti atau parti tunggal dipersetujui, maka yang untung bukanlah orang Melayu tetapi orang bukan Melayu atau orang Cina dan India! Sejak PRU pertama selepas Merdeka, UMNOlah yang mempunyai calon ADUN dan Parlimen yang ramai kerana mewakili majoriti penduduk Malaysia. Wakil UMNO yang menjadi majoriti dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Wakil UMNO yang menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan majoriti menteri-menteri kerajaan BN. UMNO mendominasi dan menjadi tulang belakang parti Perikatan atau Barisan Nasional sekarang! Jika hanya ada parti tunggal adakah perkara ini akan diteruskan? Platfom manakah mereka mahu berkumpul dan bincang hal agenda Melayu seperti persidangan tahunan UMNO? Adakah kita sudah menganggap agenda bumiputra sudah selesai? Cukup setakat ini sahaja kita tolong orang Melayu? Tahap ekonomi Melayu sudahkah mencapai 30 peratus? Sudah tertubuhkah universiti berteknologi tinggi untuk anak-anak Melayu atau universiti UMNO? Kita jangan lupa MCA dan MIC telah lama ada universiti dan institusi pengajian tinggi mereka sendiri! Agenda mereka mungkin sudah selesai, kerana hampir keseluruhan perniagaan di negara ini telah dikuasai mereka! Apakah kita sudah mahu mentalkinkan UMNO sebagaimana yang ditunggu-tunggu oleh DAP? Tanpa UMNO, adakah orang Melayu perlu pergi mengadu kepada Perkasa atau NGO-NGO Melayu lain? Atau orang Melayu akan kecewa dan beralih angin ke parti lain seperti Pas pula atau menubuhkan sebuah parti Melayu baru? Persoalan-persoalan inilah yang perlu dijawab oleh pemimpin politik kita sebelum keputusan muktamad diambil. Beberapa tabung uji perlu dikaji dan diselidik dalam makmal yang akan ditubuhkan. Patut diingat dengan adanya satu parti, maka pihak yang kalah dan minoriti akan sentiasa terselamat dan menjadi penumpang kepada parti lain lebih dominan iaitu UMNO! Sekiranya wakil kaum ini tidak menang, tiada siapa pun boleh mempertikaikan kerana yang kalah adalah calon parti sama? Jadi, apabila susunan Kabinet jemaah menteri dibuat, maka orang Cina dan India akan juga dilantik mengikut kouta yang dipersetujui walaupun mereka kalah teruk! Bagaimanakah pula jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Jika telah dalam satu parti, maka orang Cina dan India juga berminat jawatan-jawatan tersebut. Apa alasan kita jika mengatakan mereka tidak layak? Sedangkan mereka juga berada dalam parti sama? Apakah Perlembagaan Malaysia juga nanti perlu dipinda? Kita juga harus ingat adakah telah terjamin jika kita adakan parti tunggal, orang Cina akan mengundi BN nanti pada PRU-14? Begitu juga orang Melayu, adakah mereka akan terus menyokong BN jika bukan lagi atas nama UMNO? Suara Politik Belantan |
Hasut rakyat ubah kerajaan cara tidak sah? Posted: 30 May 2013 06:20 AM PDT Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan empat aktivis propembangkang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramah yang diadakan dua minggu lalu. Selain Tian Chua atau Chua Tian Chiang, 50, turut didakwa ialah Hishamuddin Md. Rais, 62; ahli Pas, Mohd. Tamrin Abdul Ghafar, 63; peguam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54, dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Awang @ Talib, 24. Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Norsharidah Awang. Ini bermakna enam tertuduh setakat ini telah didakwa atas tuduhan serupa dengan tertuduh pertama iaitu aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd. Halim, 24, dihadapkan ke mahkamah pada 23 Mei lalu. Pada prosiding hari ini, kelima-lima tertuduh didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya diubah kerajaan yang tertubuh menurut undang-undang, dengan sebarang cara yang tidak sah. Mengikut kertas pertuduhan, dakwaan kata-kata hasutan dalam ucapan setiap tertuduh dinyatakan dalam Lampiran A bagi pertuduhan masing-masing. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, No. 1, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Ketika pertuduhan selesai dibacakan terhadap Tian Chua, lelaki itu dilihat tersenyum malah berkata, pertuduhan tersebut berunsur politik menyebabkan Norsharidah mengarahkannya hanya menyatakan pengakuan sama ada bersalah atau tidak. Perkara yang sama juga berlaku apabila Muhammad Safwan menyifatkan tuduhan tersebut berniat jahat dan sekali lagi Norsharidah mengeluarkan arahan yang sama. Kesemua tertuduh ditahan oleh pihak polis semalam kecuali Hishamuddin yang menyerah diri kepada pihak polis di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, pagi ini. Hishamuddin yang memakai kemeja dan kot hitam serta seluar pendek paras betis didakwa di mahkamah sama kira-kira sejam selepas selesai prosiding pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh yang lain. Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abas yang mengetuai pasukan pendakwaan, menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh. Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Haris dan menyebut bagi pihak peguam tertuduh-tertuduh lain bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan tanpa sebarang rayuan bagi mengurangkan jumlah jaminan. Norsharidah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh sementara menunggu sebutan kes pada 2 Julai ini. Sementara itu, peguam N. Surendran yang mewakili Tian Chua memaklumkan bahawa kesemua tertuduh akan memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan berkenaan atas alasan ia tidak berasas dan salah guna kuasa mahkamah. Beliau turut memohon supaya pihak pendakwaan mengembalikan telefon bimbit anak guamnya serta tertuduh-tertuduh lain yang dirampas semasa ditahan pada 23 Mei lalu sebelum dibebaskan sehari kemudian. Bagaimanapun Mohamad Abazafree berkata, telefon berkenaan telah dihantar kepada CyberSecurity Malaysia untuk pemeriksaan dan akan dikembalikan kepada pemilik masing-masing selewat-lewatnya esok. Mahkamah kemudian mengarahkan pihak pendakwaan mengembalikan telefon berkenaan seperti yang dimohon oleh pihak peguam. Sementara itu, kesemua tertuduh kecuali Muhammad Safwan, dibebaskan selepas membayar wang jaminan masing-masing. Muhammad Safwan dan Mohd. Tamrin, masing-masing diwakili empat peguam diketuai Ariff Azami Hussein sementara Gobind mengetuai barisan sembilan peguam mewakili Haris dan Tian Chua diwakili dua peguam termasuk Surendran. Peguam, Murnie Hidayah Anuar mewakili Hishamuddin. Suara Politik Belantan |
Penduduk selar Ahli Parlimen Pas? Posted: 29 May 2013 11:30 PM PDT Penduduk mengadakan demonstrasi secara aman menyelar sikap pilih kasih Nasruddin Hassan berhubung bantuan mangsa ribut di Temerloh, semalam. Beberapa penduduk mendakwa, Nasruddin melalui wakilnya hanya memberikan bantuan kepada ahli Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan penduduk yang tidak menyokong parti tersebut diketepikan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Megat Segama, Mohd. Nordin Mohd. Sham memberitahu, tindakan mengagihkan bantuan kepada penyokong sendiri sahaja menunjukkan mereka tidak berpegang pada slogan Negara Berkebajikan yang dilaungkan. "Sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen Temerloh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed juga daripada Pas sepatutnya mengetepikan soal parti dalam memberi bantuan kepada semua mangsa tanpa mengira fahaman politik mereka. "Ahli Parlimen sebelum ini, Datuk Saifuddin Abdullah dan penyelaras Barisan Nasional (BN) Kuala Semantan mengagihkan semua bantuan kepada penduduk yang ditimpa bencana alam seperti banjir, ribut, pesakit kronik dan sebagainya tanpa mengira ahli parti mana," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi tersebut. Seorang lagi mangsa, T. Sangamalam, 73, berkata, sebelum ini, ada pihak datang membuat bancian penduduk yang mengalami kerosakan rumah ekoran kejadian ribut itu dan meminta beliau hadir pada majlis menerima bantuan daripada ahli Parlimen. "Apabila saya hadir pada majlis itu 22 Mei lalu, mereka memberitahu nama saya sudah dipotong daripada senarai penerima bantuan. "Saya berasa cukup kecewa kerana bantuan itu diharap dapat digunakan untuk membaiki beberapa bahagian rumah yang rosak akibat bencana tersebut," katanya. Bagi Roslaini Mohd. Amin, 54, Nasruddin sepatutnya tidak lagi berpegang pada kedudukan parti dalam mengagihkan bantuan kerana beliau kini wakil rakyat untuk seluruh penduduk di Parlimen Temerloh sama ada yang menyokong beliau atau pun BN. "Beliau sepatutnya tidak boleh mengambil sikap sedemikian, sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, menjadi tugas beliau membantu semua penduduk yang dilanda bencana alam," katanya. Suara Politik Belantan |
You are subscribed to email updates from Belantan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |