Belantan |
Nasib MB Khalid yang suka tampil solo? Posted: 23 Mar 2013 06:59 PM PDT ![]() Kerajaan Selangor menjaga kebajikan anda sehingga akhir hayat - begitu bunyi promosi di papan iklan di Persiaran Sukan, di jalan strategik di persekitaran Stadium Shah Alam ini. Dalam papan iklan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditampilkan dengan imej mesra, penyayang dan prihatin sedang dikerumuni oleh sekumpulan kanak-kanak. Bulan lalu di papan iklan yang sama, Abdul Khalid yang juga tampil solo dengan berbaju Melayu cuba digambarkan sebagai seorang pemimpin yang peka dengan kebajikan rakyat. Dalam iklan itu, disenaraikan lapan program pujaan kerajaan negeri. Menurut iklan itu, lebih 4 juta rakyat Selangor mendapat manfaat termasuk program ikonik mereka iaitu bekalan air percuma yang melibatkan peruntukan RM477 juta. Abdul Khalid, dengan stail pemerintahan beliau yang tersendiri selalu ditampilkan secara solo. Begitu juga dalam banner ucapan terima kasih yang satu masa dipasang di merata-rata lokasi di Shah Alam hanya menampilkan gambar Khalid tersenyum. Memang Khalid mahu digambarkan sebagai seorang pentadbir yang berjaya. Citra seperti itu penting bagi memberi gambaran PKR sebagai pengemudi pakatan pembangkang mampu ke Putrajaya. PKR mahu digambarkan sebagai parti yang tidak kering pemimpin berkaliber. ![]() Sejak kebelakangan ini dan menjelang pilihan raya umum, Abdul Khalid memang dilihat tambah agresif mahu ditampilkan secara solo sebagai seorang Menteri Besar yang berjaya. Mungkin dalam aspek lain dan sebagai satu strategi, beliau tahu hanya itulah modal utama untuk meraih undi rakyat terutama pengundi di DUN Ijok. Kerana ketidaktentuan nasib beliau di Ijok, Abdul Khalid sendiri disebut-sebut akan 'diselamatkan' ke DUN lain. Selain Bukit Melawati yang juga masih di kawasan Parlimen Kuala Selangor, DUN yang dianggap selamat yang diincar ialah Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) bahkan Bukit Antarabangsa yang kini disandang oleh pesaing beliau, Azmin Ali. "Tapi masalah utamanya ialah tiada orang yang mahu memberikan tempat," kata seorang pemimpin PKR Kuala Selangor yang melihat Abdul Khalid gagal memainkan peranan sebagai seorang pemimpin parti. Beliau yang masih tegar dengan perjuangan PKR meramalkan peluang Abdul Khalid di Ijok hanya 50:50. Pengaruh dan kuasa sebagai MB tidak memberikan beliau kelebihan untuk menawan hati masyarakat di Ijok. Kedudukan beliau dan aura seorang MB tidak dirasai oleh masyarakat Ijok. ![]() "Orang Ijok lebih mengenalinya sebagai seorang Menteri Besar bukan ADUN. Beliau tak berapa perform sebagai wakil rakyat walaupun beliau seorang Menteri Besar," tambah pemimpin PKR itu yang memberi contoh antara kegagalan Abdul Khalid atau wakilnya ialah tidak hadir dalam majlis-majlis kenduri-kendara dan kematian penduduk. Kegagalan paling ketara ialah peranannya sebagai pengemudi PKR cabang Kuala Selangor. Cabang Kuala Selangor tidak berfungsi dengan baik kerana diurus oleh orang-orang pilihan Abdul Khalid. Seperti Abdul Khalid, sebahagian besar orang-orang beliau adalah orang baharu, mengamalkan pentadbiran ala korporat dan tidak faham lenggok politik. Mewakili "Kalau ada program, ajak orang dia sahaja bukan orang parti. Dari segi jentera parti, memang tidak berfungsi. Mungkin beliau mahu mengharapkan jentera Pas, kalau begitu susahlah nak menang," dakwa pemimpin itu lagi yang menyifatkan dirinya mewakili suara akar umbi. Alasannya, kebanyakan jentera parti PKR Ijok ialah orang India. Tidak banyak orang Melayu mahupun Cina di Ijok yang mahu menjadi aktivis PKR. Aktivis dari kaum India yang dominan menghidupkan jentera parti. Kumpulan inilah yang pada Pilihan Raya Umum 2008 bekerja siang dan malam mahu menumbangkan BN. Kumpulan itu kini telah berpecah-pecah. Tambah merumitkan jentera Abdul Khalid nanti ialah jika BN menampilkan calon dari kaum India. DUN Ijok secara tradisinya memang dikhususkan kepada MIC. Penyelaras DUN Ijok sekarang ini juga adalah daripada MIC yang disebut-sebut bakal menjadi calon. Mungkin sebab itu Abdul Khalid kini semakin kerap menggunakan kad muslihat yang ada pada seorang Menteri Besar iaitu kuasa meluluskan geran tanah. Lagipun masalah tanah adalah antara isu utama di kebanyakan kawasan di daerah Kuala Selangor, yang sebahagiannya pula melibatkan orang India. ![]() Berulang kali Abdul Khalid menguar-uarkan kejayaannya menyelesaikan masalah kepemilikan tanah ini. Yang terakhir Selasa lalu (12 Mac) iaitu genap lima tahun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Apabila beliau mengumumkan lebih 10,000 masalah berhubung pemilikan tanah berjaya diselesaikan. Tindakan Abdul Khalid menggunakan kad muslihat secara agresif ini membimbangkan jentera BN. Dalam fikiran jentera BN, pastilah pengundi India yang menjadi penentu kalah menang calon di DUN Ijok akan berpatah balik kepada pakatan pembangkang. Tetapi realitinya tidak begitu. Benar, masalah dapat diselesaikan tetapi bukan semua kerana masalah kepemilikan tanah di Kuala Selangor begitu kompleks. Selain ada kumpulan penduduk yang permohonan belum diluluskan, banyak yang tidak berpuas hati walaupun geran sudah dalam tangan mereka. Contohnya kumpulan yang memohon sekian hektar tanah tetapi yang diluluskan lebih kecil kerana masalah teknikal. Ini belum lagi permohonan penduduk lain yang juga merasakan permohonan mereka berhak dilayani segera. Jadi dalam keadaan sekarang, Abdul Khalid tidaklah dalam kedudukan selamat walaupun telah menggunakan kuasanya selaku Menteri Besar. Dalam pada itu jentera BN khususnya UMNO yang telah melalui pengalaman getir kini lebih agresif menggempur kawasan-kawasan kelabu seperti di Ijok ini. Walaupun gerakan BN disifatkan belum maksimum tetapi telah memeningkan jentera Abdul Khalid. 'Ya, memang kita nampak ada perubahan cara orang UMNO dan BN bekerja. Saya rasa jika mereka terus bekerja keras menggempur kawasan-kawasan tertentu, kita akan menghadapi cabaran berat," kata seorang pemimpin PKR tempatan. Realitinya Abdul Khalid tidak mempunyai banyak pilihan. Satu-satunya tapak politik yang beliau ada ialah di Ijok. Mahu tidak mahu, kerjaya politik beliau akan dipertaruhkan di situ. Dalam masa sama, PKR dan pakatan pembangkang juga menghadapi dilema. Jika berpindah ke kawasan lain akan dianggap pengecut. Jika tetap bertahan di Ijok dan kalah bermakna kehebatan beliau sebagai seorang Menteri Besar yang dibangga-banggakan itu tidak ada ertinya. Bayangkan pula citra yang terpaksa ditanggung jika seorang MB, orang terbaik dalam kalangan mereka kecundang di lubuknya sendiri. Suara Politik Belantan |
Kita terus dihina, tetapi apa tindakannya? Posted: 23 Mar 2013 02:36 AM PDT ![]() ALLAH dihina, Nabi Muhammad SAW dihina, Islam dihina, Al-Quran dihina, Raja dihina, Melayu dihina, Negara dihina, Perlembagaan dihina, Undang-Undang dihina, Lagu Negaraku dihina, Bendera Jalur, Gemilang dihina, PDRM dihina, ATM dihina, Masjid dihina, Batik dihina. Apa lagi yang dihina? Percayalah akan ada lagi yang dihina. Kenapa mereka begitu berani menghina? Jawapannya ialah kerana tiada tindakan dan hukuman serius pernah dikenakan. Setiap kali berlaku penghinaan berbagai-bagai bantahan dibuat. Pelbagai amaran diberi. Bermacam-macam bentuk kemarahan ditunjukkan. ![]() Beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara. Tetapi apa kesudahannya? Pernahkah kita dengar hukuman berat dijatuhkan kepada penghina? Yang selalu kita dengar hanya amaran demi amaran sahaja diberi. Bantahan menuntut penghina menarik balik kata-kata dan memohon maaf sahaja. Apakah cukup dengan amaran dan bantahan begitu akan membuat penghina merasa bersalah dan insaf? Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) telah dihapuskan. Apakah akta baharu yang menggantikan ISA dapat membendung perlakuan ini? Hakikatnya sehingga kini pelbagai penghinaan masih lagi berlaku. Apakah saman malu atau hasutan boleh dikenakan kepada penghina? Apakah Akta Hasutan yang ada dilihat gagal untuk mengenakan tindakan dan hukuman yang berkesan kepada pesalah? ![]() Mungkin bentuk penghinaan yang dibuat tidak ada atau bertepatan dalam Akta Hasutan untuk diambil tindakan. Jika benar begitu maka satu undang-undang atau akta baru perlu digubal. Oleh itu kerajaan perlu menggubal satu akta yang boleh dinamakan Akta Hinaan yang khusus untuk pelbagai bentuk hinaan yang dibuat. Di bawah akta ini tiada lagi halangan untuk diambil tindakan dan dijatuhkan hukuman. Akta ini perlu mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah penghina supaya menjadi pengajaran kepada semua orang agar tidak sesuka hati menghina sesiapa atau apa sahaja yang boleh menyentuh sensitiviti rakyat. Jika terbukti kesalahan telah dilakukan tindakan dan hukuman perlu dilaksanakan segera. Jangan tangguh sehingga bertahun-tahun menyebabkan masyarakat tidak takut dan tidak menghormati undang-undang dan memandang rendah kepada penguatkuasa undang-undang. ![]() Penghinaan yang dibuat jika tidak dibendung boleh menyemarakkan kemarahan yang tidak dapat dikawal. Jangan terkejut jika rusuhan juga boleh berlaku. Sampai bila orang dapat bersabar. Kata orang kesabaran ada hadnya. Sampai bila kesabaran ini dapat bertahan? Apakah setelah rusuhan dan kemusnahan berlaku baru tindakan akan diambil? Kepada siapa tindakan akan diambil? Kepada perusuh atau kepada penghina yang menyebabkan rusuhan berlaku. Oleh itu sebelum api kemarahan membara dan membakar maka punca api itu hendaklah dipadam semasa ia masih lagi kecil. Percayalah selagi tidak ada satu undang-undang dan hukuman dikenakan kepada penghina yang hina, percayalah segala bentuk penghinaan akan berulang lagi di masa depan. Malah penghinaan yang lebih dahsyat lagi akan dibuat. Suara Politik Belantan |
You are subscribed to email updates from Belantan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |